Skip to main content

Dunia

Dr Mahathir sokong penuh cadangan calonkan Mohd Shafie Apdal sebagai PM bagi pihak pembangkang

Mantan perdana menteri Malaysia,  Dr Mahathir Mohamad, pada Sabtu (27 Jun) berkata beliau menyokong penuh cadangan Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan DAP agar Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal dipilih sebagai calon untuk jawatan Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir sokong penuh cadangan calonkan Mohd Shafie Apdal sebagai PM bagi pihak pembangkang

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 27 Jun 2020 10:38PM Dikemas Kini : 28 Jun 2020 12:48AM

KUALA LUMPUR: Mantan perdana menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, pada Sabtu (27 Jun) berkata beliau menyokong penuh cadangan Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan DAP agar Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal dipilih sebagai calon untuk jawatan Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.

Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, berkata keputusan memilih Mohd Shafie - yang juga Ketua Menteri Sabah itu - dicapai sebulat suara dalam satu pertemuan dengan sekutunya (Amanah, Warisan dan DAP) di Rumah Tetamu Sabah di Kuala Lumpur pada Khamis (25 Jun). 

Menurut Dr Mahathir, dalam pertemuan itu, mereka juga bersetuju untuk mencadangkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1, dan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mukhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.

"Di dalam perbincangan itu, saya terbuka kepada apa juga cadangan termasuk saya tidak dicalon sebagai bakal Perdana Menteri. Antara cadangan yang dikemukakan ialah pencalonan Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri.

"Kami sebulat suara bersetuju Mohd Shafie Apdal dinamakan sebagai calon Perdana Menteri. Saya menyokong penuh cadangan ini. Yang penting ialah kita mempunyai pendirian yang tegas supaya rakyat tahu akan pendirian kita," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata pertemuan dan perbincangan secara tidak formal itu turut dihadiri Mukhriz dan Mohd Shafie sendiri, serta Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dr Mahathir berkata beliau percaya sekiranya langkah itu berjaya, ia akan merapatkan lagi hubungan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

PERLU DIBINCANGKAN DI PERINGKAT KEPIMPINAN PUSAT AMANAH, DAP

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng berkata Amanah dan DAP mengambil maklum kenyataan Dr Mahathir selepas pertemuan tidak rasmi dua hari lalu. Ini di samping cadangan untuk menamakan Mohd Shafie sebagai calon baru Perdana Menteri jika pembangkang dapat menguasai kembali Putrajaya.

Mereka berkata Amanah dan DAP berpandangan ia sebagai suatu pilihan baru untuk merealisasikan usaha mengembalikan semula mandat rakyat yang telah diberikan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Bagaimanapun, cadangan itu perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat Amanah serta DAP terlebih dahulu dan seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk diputuskan bersama, kata kedua-dua pimimpin tersebut.

Sebelum in, Amanah dan DAP meminta supaya Dr Mahathir dan Encik Anwar mencari jalan penyelesaian dan kata sepakat berhubung calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.

Ia susulan kenyataan PKR, iaitu satu lagi komponen dalam PH, yang menyatakan pendirian teguh menolak Dr Mahathir sebagai pilihan pihak pembangkang untuk jawatan Perdana Menteri sekiranya mereka kembali diberi kuasa meneraju negara.

PH mengambil alih pentadbiran negara selepas memenangi pilihan raya ke-42 pada Mei 2018, namun Februari lalu, Dr Mahathir -yang merupakan pengerusi PH - meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh selepas PH kehilangan majoriti dalam parlimen Februari lalu.

Ia berlaku selepas parti pimpinannya, Bersatu, serta satu kumpulan dari parti PKR bertindak keluar daripada gabungan PH. Dr Mahathir kemudiannya meletak jawatan sebagai pengerusi parti Bersatu.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kemudian bersama dengan Barisan Nasional yang diterajui Umno, PAS dan beberapa pihak, menubuhkan kerajaan baru yang dinamakan Perikatan Nasional.

Encik Muhyiddin kemudian mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan pada 1 Mac. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita