Skip to main content

Dunia

Dr Mahathir: Sepatutnya orang Melayu sedar apa yang berlaku kepada mereka

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa orang Melayu tidak boleh menganggap diri mereka 'Tuan' di negara sendiri sekiranya mereka miskin dan terus bergantung kepada belas kasihan orang lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir: Sepatutnya orang Melayu sedar apa yang berlaku kepada mereka

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 06 Sep 2019 07:42PM Dikemas Kini : 06 Sep 2019 07:44PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa orang Melayu tidak boleh menganggap diri mereka 'Tuan' di negara sendiri sekiranya mereka miskin dan terus bergantung kepada belas kasihan orang lain.

Dr Mahathir menegaskan mereka perlu merebut peluang pekerjaan yang kini banyak dipegang oleh orang asing.

"Ada yang dakwa orang Melayu adalah Tuan. Tuan apa? Orang miskin, orang yang tidak ada kebolehan, orang yang bergantung kepada belas kasihan orang lain, Tuankah?" kata Dr Mahathir dalam catatan bertajuk 'Tak Bekerja' di laman blognya, Chedet.

“Sepatutnya orang Melayu sedar terhadap apa yang berlaku kepada mereka. Malangnya mereka tidak sedar. Sehingga sekarang pun orang Melayu masih tidak sedar. Mereka masih enggan bekerja. Orang Melayu masih rela serah segala kerja kepada orang asing.

“Dan orang asing pun membanjiri negara kita. Tujuh juta orang asing masih berada di sini sekarang ini. Mereka bekerja. Apakah akan terjadi kepada orang Melayu?,” katanya.

Dr Mahathir selanjutnya menegaskan nasib kaum Melayu hanya akan ditentukan mereka sendiri.

TANGGAPAN ORANG MELAYU JADIKANNYA LEBIH MISKIN

"Nasib kita di tangan kita. Memarahi orang lain tak akan menyelesaikan masalah kita. Bilangan kita dikatakan bertambah namun jumlah besar orang yang miskin tidak dapat bersaing dengan jumlah kecil orang yang kaya," tambah Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata sewaktu zaman mudanya di Alor Setar sewaktu zaman British, timbul keinginan melihat orang Melayu berniaga lalu dan di Pekan Rabu, orang kampung merebut peluang untuk menjual sedikit sebanyak pisang, buah-buahan serta bakul dan raga anyaman mereka.

“Perniagaan mereka tidak menjadi besar. Mereka berniaga secara sambilan. Mereka tidak berniat pun untuk mengembangkan perniagaan, setakat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, itu sahaja."

Ketika itu, tambah Dr Mahathir, orang Melayu berasa senang kerana kerja berat, 'kotor' dan berbahaya serta perniagaan dilakukan orang asing dan mereka tidak berasa khuatir sedikit pun dengan kekayaan dan kemajuan orang asing ini.

"Kepercayaan mereka ialah negeri mereka kekal sebagai milik mereka. Itu yang saya lihat… tetapi tanggapan mereka meleset. Kerana mereka tidak sanggup bekerja kuat, tidak sanggup berniaga secara serius mereka terus miskin.

"Jarak antara mereka dengan kaum lain yang bekerja kuat dan berniaga menjadi semakin luas. Yang berlaku ialah yang sudah kaya menjadi lebih kaya dan orang Melayu yang miskin menjadi lebih miskin,” katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita