Dr Mahathir sebak ziarah pusara Dr Siti Hasmah 4 hari selepas pemergiannya
Mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad menziarahi pusara Almarhumah Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada Khamis (1 Okt), empat hari selepas pemergian isterinya.
Mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad (tengah), ditemani anggota keluarga ketika menziarahi pusara isterinya, Almarhumah Dr Siti Hasmah Mohd Ali, di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, pada 1 Oktober 2026. (Gambar: BERNAMA)
- Dr Mahathir Mohamad menziarahi pusara Almarhumah Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara, Putrajaya pada Khamis, empat hari selepas isterinya meninggal dunia.
- Beliau hadir sekitar 11.05 pagi bersama keluarga, berada kira-kira 20 minit, dan dilihat sebak mengenang pasangan hidupnya lebih tujuh dekad.
- Sekitar 200 orang turut memberi penghormatan, termasuk Marina Mahathir, Lee Chong Wei, Wong Mew Choo, Ramli Sarip dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin.
- Lee mengenang Dr Siti Hasmah sebagai penyokong prihatin atlet, manakala Almarhumah meninggal dunia di IJN pada 28 Sep dan disemadikan dengan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Dr Mahathir tiba di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada sekitar 11.05 pagi dengan ditemani anggota keluarga.
Beliau berada di pusara Almarhumah selama kira-kira 20 minit sebelum beredar.
Dr Mahathir turut dilihat sebak dan menitiskan air mata ketika mengenang isterinya yang mendampinginya selama lebih tujuh dekad.
Sekitar 200 orang hadir ke Pusara Negara pada Khamis untuk menziarahi dan memberikan penghormatan kepada Almarhumah Dr Siti Hasmah.
Anak sulung pasangan itu, Marina Mahathir, turut menziarahi pusara ibunya pada sekitar 10.00 pagi.
Antara yang hadir ialah bekas jaguh badminton Malaysia Lee Chong Wei, penyanyi Ramli Sarip dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin.
LEE CHONG WEI KENANG SOKONGAN DR SITI HASMAH
Berkongsi kenangannya, Lee berkata beliau tidak dapat melupakan sikap prihatin Dr Siti Hasmah terhadap para atlet.
Menurut beliau, Dr Siti Hasmah sering menghubungi atlet untuk bertanya khabar, terutama selepas mereka menyertai kejohanan.
Dia juga akan memberikan kata-kata semangat ketika atlet berdepan kekalahan dan terus memberikan sokongan tanpa mengira keputusan yang dicapai.
Lee berkata sikap Dr Siti Hasmah yang sentiasa mengambil berat menjadikan pemergiannya satu kehilangan bagi masyarakat badminton Malaysia.
Beliau menerima berita pemergian Dr Siti Hasmah ketika berada di Nagoya, Jepun.
Setibanya di Malaysia, Lee bersama isterinya yang juga mantan pemain badminton negara, Wong Mew Choo, menziarahi pusara Almarhumah bagi memberikan penghormatan.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada Isnin (28 Sep) pada usia 100 tahun.
Almarhumah diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebelum disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, pada hari yang sama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.