Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir saman Ahmad Zahid berhubung isu 'kutty'

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir saman Ahmad Zahid berhubung isu 'kutty'

Dr Mahathir Mohamad dan Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: Agensi Berita)

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman terhadap Dr Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu 'kutty' membabitkan mantan Perdana Menteri Malaysia itu.

Dr Mahathir, 97 tahun, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu menerusi Tetuan Haidir & Co pada 20 Julai lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Dr Ahmad Zahid, 69 tahun, sebagai defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutannya, Dr Mahathir mendakwa Dr Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 yang kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu telah menjatuhkan reputasinya sebagai ahli politik yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat dan memberi tanggapan bahawa plaintif seorang yang tidak jujur dan amanah, mementingkan diri sendiri, licik dan penuh tipu helah demi mencapai kepentingan peribadi.

Dr Mahathir menuntut ganti rugi am, teladan dan keterlaluan selain memohon injunksi bagi menghalang defendan atau ejen-ejennya memberi komen, mengulangi atau menyebabkan penerbitan kenyataan fitnah itu selain memohon perintah mahkamah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat secara lisan dan bertulis terhadap plaintif, kos dan relif lain yang sesuai.

Sementara itu, Dr Ahmad Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos lepas menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq, menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum.

Dakwa Presiden UMNO itu, nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty” merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dalam salinan kad pengenalan yang lama selain mendakwa beliau juga tidak mempunyai kawalan ke atas sebarang penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media.

Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir ketika dihubungi Bernama pada Jumaat memaklumkan, pada prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris secara e-Review, mahkamah menetapkan 13 Sep ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

“Plaintif juga perlu memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan defendan sebelum atau pada 8 Sep ini,” kata peguam itu.
Sumber : Bernama/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan