Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir nafi setiap dakwaan, tidak berganjak dengan kenyataan terhadap Presiden UMNO Ahmad Zahid, kata peguam

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir nafi setiap dakwaan, tidak berganjak dengan kenyataan terhadap Presiden UMNO Ahmad Zahid, kata peguam

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 27 Apr 2022 05:15PM Dikemas Kini : 27 Apr 2022 05:40PM

PETALING JAYA: Mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir menafikan setiap dakwaan dan tuntutan saman fitnah yang dikemukakan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadapnya, lapor Astro Awani.

Tetuan Haidir & Co yang mewakili Dr Mahathir dalam satu kenyataan memaklumkan anak guamnya bersedia untuk memfailkan tuntutan balas jika wujud keperluan.

"Ingin dimaklumkan di sini bahawa anak guam kami tidak berganjak bahawa kenyataan yang telah dinyatakan oleh beliau adalah benar dan memelihara hak beliau untuk memfailkan tuntutan balas jika perlu di mahkamah kelak," menurut Astro AWANI memetik kenyataan itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah menetapkan tarikh pengurusan kes bagi saman fitnah yang melibatkan Dr Zahid dan Dr Mahathir dengan arahan selanjutnya untuk pendengaran kes tersebut berkaitan permohonan Interim Injunksi Plaintif pada 17 Jun depan selain menetapkan tarikh yang sama bagi pengurusan kes saman Plaintif tersebut.

Dr Ahmad Zahid Hamidi, 69 tahun, sebelum itu memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mahathir Mohamad berhubung isu mempengaruhi mantan Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes yang dihadapinya di mahkamah.

Saman itu dilakukan menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu minggu lalu (20 April) dengan menamakan Dr Mahathir, 97 tahun, sebagai defendan tunggal manakala notis tuntutan dihantar pada 25 April.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi carian sistem mahkamah, mantan Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pada 19 Oktober 2018, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Namun Presiden UMNO itu berkata, pada 23 Februari lalu, Dr Mahathir telah mengeluarkan kenyataan palsu dan berbaur fitnah dengan niat jahat merujuk secara terus kepada plaintif.
Menurutnya, ia dibuat dalam suatu Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Katanya, Dr Mahathir memfitnah bahawa beliau pernah hadir ke rumah Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.

Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa pertemuan itu berkemungkinan berlaku disebabkan beliau merupakan seorang Perdana Menteri, namun diketahui bahawa Dr Ahmad Zahid mungkin dimasukkan ke penjara.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, pernah mendengar bahawa Dr Ahmad Zahid juga cuba untuk menghapuskan tindakan terhadapnya melalui mahkamah.

Sumber : Bernama/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan