Dr Mahathir, Mukhriz dan 5 lagi fail saman terhadap Muhyiddin
Dr Mahathir Mohamad bersama anaknya, Mukhriz dan lima yang lain memfailkan saman terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Muhyiddin Yassin dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pemecatan keahlian serta jawatan mereka dalam parti itu dua minggu lalu.
KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad bersama anaknya, Mukhriz dan lima yang lain memfailkan saman terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Muhyiddin Yassin dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pemecatan keahlian serta jawatan mereka dalam parti itu dua minggu lalu.
Lima yang lain ialah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah, Marzuki Yahya dan parti itu sendiri selaku plaintif.
Kesemua plaintif menamakan Muhyiddin, yang kini Pemangku Pengerusi BERSATU, Setiausaha Agung parti itu, Hamzah Zainudin, Setiausaha Kerja Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Pengarah ROS Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan pertama hingga keempat.
Writ saman dan penyataan tuntutan mereka difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini (9 Jun) melalui Tetuan Haniff Khatri.
Dalam penyataan tuntutan itu, Dr Mahathir yang merupakan plaintif pertama memohon satu deklarasi bahawa beliau adalah ahli serta Pengerusi BERSATU yang sah dan adalah kini Pengerusi yang menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut pada pemilihan parti.
Mukhriz pula memohon satu deklarasi bahawa beliau adalah ahli serta Timbalan Presiden BERSATU yang sah dan adalah calon yang sah untuk bertanding pada pemilihan parti itu.
Syed Saddiq memohon satu deklarasi bahawa beliau merupakan ahli dan Ketua Armada parti itu yang sah manakala Maszlee serta Amiruddin memohon deklarasi bahawa mereka ahli parti itu yang sah. Marzuki memohon deklarasi bahawa beliau adalah setiausaha agung parti yang sah.
Mereka juga memohon deklarasi bahawa surat pemberhentian mereka yang ditandatangani defendan ketiga iaitu Muhammad Suhaimi, bertarikh 28 Mei 2020, serta pengesahan berkaitannya melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), bertarikh 4 Jun lalu adalah tidak sah dan terbatal.
Plaintif juga antara lain memohon deklarasi bahawa keahlian Muhyiddin dalam BERSATU adalah terlucut berkuat kuasa pada 28 Feb 2020 dan/atau 29 Feb 2020 menurut Fasal 10.2.3 Perlembagaan parti itu, begitu juga dengan Hamzah dan Muhammad Suhaimi.
Mereka juga memohon deklarasi bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 adalah tidak terpakai untuk menghalang pelupusan pertikaian berkenaan oleh mahkamah dan Fasal 10.2.6 Perlembagaan BERSATU tidak terpakai dalam hal bagi melucutkan/memberhentikan keahlian kesemua plaintif.
Plaintif turut memohon perintah injunksi dikeluarkan terhadap ROS untuk membuat pendaftaran atau pembetulan ke atas semua dokumen parti itu selain memohon ganti rugi am, faedah serta kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.