Skip to main content

Dunia

Dr Mahathir Mohamad undur diri dari Gerakan Tanah Air

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir Mohamad undur diri dari Gerakan Tanah Air

Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Bernama)

JITRA: Mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau kini tidak lagi bersama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dan memegang apa-apa jawatan dalam gerakan berkenaan, lapor Astro AWANI. 

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat selepas menyedari bahawa GTA tidak dapat berfungsi dengan baik selain gagal menarik sokongan pengundi terutama ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada November lalu. 

"Jawatan Pengerusi GTA yang itu perkara lama... kini saya tidak ada sebarang jawatan, matlamat penubuhan GTA tidak jadi, GTA tidak membantu kita untuk menang pilihan raya, kerana ia berbentuk parti.

"Kita dapati kalau bergerak sebagai parti, kita tidak boleh menang, kita sudah lawan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), GTA dan (Parti) Pejuang Tanah Air kalah 125 kerusi (yang ditandingi selain hilang deposit).

"GTA sebelum ini juga kita tidak dapat mendaftar, kita belum mendaftar sebagai sebuah parti yang sah, oleh kerana GTA tidak berfungsi dan tidak bergerak, saya kini tidak bersama mereka," kata Dr Mahathir, seperti dipetik Astro AWANI.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di Kampung Naga, Jitra pada Khamis malam (11 Mei). 

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir memaklumkan, beliau kini bergerak melalui medium Proklamasi Orang Melayu selain tidak terlibat dengan mana-mana parti politik di negara ini.

Medium berkenaan, jelas bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, berupaya memberi kesedaran kepada orang Melayu di Malaysia tentang nasib mereka yang dilihat sudah kehilangan kuasa di negara sendiri.

Tambah beliau, sekiranya penyatuan dalam kalangan kaum Melayu tidak dapat direalisasikan, kedudukan kaum berkenaan di Malaysia juga akan semakin terhakis dari hari ke hari.

Awal Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan beliau keluar daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bersama 12 lagi ahli yang lain.

Menerusi satu notis kepada Setiausaha Agung Pejuang Amiruddin Hamzah, keputusan itu dibuat berikutan tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan GTA.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, masih terlibat dalam arena politik sebagai Pengerusi GTA.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita