Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir minta saya bubar UMNO kerana tiada masa depan, kata Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir minta saya bubar UMNO kerana tiada masa depan, kata Ahmad Zahid

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: Zahid Hamidi/Facebook)

KUALA LUMPUR: Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Selasa (28 Jun) bahawa mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memintanya membubarkan UMNO kerana parti itu tiada masa depan dan tidak boleh dipercayai.

Dr Ahmad Zahid berkata semasa pertemuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Jun 2018 itu, Dr Mahathir juga memintanya memaklumkan kepada semua ahli UMNO supaya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atas nama Melayu.

“Dalam pertemuan empat mata itu, Dr Mahathir kata UMNO tiada masa depan, UMNO sudah mati, UMNO ditolak oleh Melayu dan pengundi BN (Barisan Nasional) terkubur kerana 13 parti komponen hanya tinggal empat.

“Beliau (Dr Mahathir) meminta saya supaya lompat parti, tinggalkan UMNO dan sertai PPBM. Dr Mahathir kata UMNO tidak boleh dipercayai, perompak, penyamun, perasuah, malah jijik dan kotor. Beliau minta UMNO dibubarkan dan beliau suruh saya maklumkan kepada ahli UMNO supaya sertai PPBM dan suruh saya lupakan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya Ahmad Zaidi Zainal semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi (YAB).

Dr Ahmad Zahid, 69 tahun, berkata beliau menolak permintaan Dr Mahathir itu dan menyatakan bahawa sekiranya ditakdirkan beliau (Ahmad Zahid) menyertai PPBM selepas diberikan kepercayaan untuk menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden UMNO dan esoknya beliau (Ahmad Zahid) meninggal dunia, kuburnya akan banjir.

“Saya menyatakan bahawa saya tidak akan bubarkan UMNO, tidak rela parti ini dikuburkan tanpa batu nisan, tidak mahu parti sejak 1946 itu terkubur begitu sahaja.

“Saya beritahu Dr Mahathir, jika saya sertai PPBM, tapi ditakdirkan saya mati keesokan hari, kubur saya akan banjir sebab 3.8 juta ahli UMNO datang dan kencing atas kubur saya,” kata beliau.

Terdahulu, Dr Ahmad Zahid berkata perjumpaan terbabit disampaikan oleh dua wakil iaitu Khairuddin Abu Hassan dan bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Hamidah Osman yang menyatakan bahawa Dr Mahathir berhasrat untuk berjumpanya.

“Encik Khairuddin dan Cik Hamidah beritahu saya bahawa Dr Mahathir hendak jumpa saya, pada masa itu saya tidak terbuka hendak jumpa, walaupun dia sudah jadi perdana menteri.

“Semasa pertemuan dengan Dr Mahathir, beliau menyatakan bersedia bertemu dengan sesiapa, hakikat mereka lah (Encik Khairudin dan Cik Hamidah) yang meminta saya berjumpa Dr Mahathir.

Ini disahkan oleh Cik Hamidah sendiri, ini bermakna Cik Hamidah nyatakan yang benar tetapi Encik Khairuddin pesongkan fakta,” kata beliau.

Kepada soalan Dr Ahmad Zaidi, selepas pertemuan dengan Dr Mahathir, apakah yang berlaku selepas itu, Dr Ahmad Zahid menjawab: “Saya telah diugut jika tidak lompat parti ke PPBM dan jika saya tidak bubarkan UMNO, sesuatu akan dilakukan kepada saya.

Menurut Dr Ahmad Zahid, kali kedua pertemuannya dengan Dr Mahathir berlaku bersama lima pemimpin tertinggi UMNO pada September 2018 dan ketika itu perkara sama dinyatakan kepada mereka.

Dr Ahmad Zaidi: Boleh Dr Mahathir nyatakan nama lima pemimpin itu?

Dr Ahmad Zahid: Saya, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden UMNO iaitu Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir Khalid serta Mohamed Khaled Nordin.

Hasil pertemuan itu, Dr Ahmad Zahid berkata mereka berlima mengambil keputusan untuk terus menjadi ahli politik pembangkang (UMNO).

Menceritakan mengenai hubungannya dengan Dr Mahathir, beliau menyifatkan Ahli Parlimen Langkawi itu berdendam dan mencemburuinya sejak beliau menang dalam pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada 1996.

Dr Ahmad Zahid berkata ketika beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Pengarah Cawangan Khas (PCK) menemuinya dan meminta beliau menulis surat dan meletak jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Menurut Dr Ahmad Zahid, PCK memintanya menulis dengan tulisan tangan iaitu ‘saya dengan rela hati meletak jawatan bagi menyelamatkan Pemuda UMNO daripada pelbagai tohmahan’ dan surat itu kemudian dihantar kepada Presiden UMNO ketika itu Dr Mahathir.

"Pada 2 pagi, PCK datang semula dan memberitahu saya Dr Mahathir menerima surat perletakan jawatan itu dan meminta saya menulis satu lagi surat menyatakan saya meletak jawatan dengan rela hati tanpa sebarang paksaan atau tekanan. Saya menulis surat (kedua) mengikut ayat yang diberikan oleh PCK dan selepas menghantar surat itu, saya dibebaskan daripada tahanan ISA.

"Dendam dan kecemburuannya dalam politik lebih buruk daripada cemburu di antara suami isteri. Saya tidak berniat untuk memburukkan individu yang dianggap negarawan dan tokoh negara tetapi saya hendak mengatakan yang benar. Biarlah saya simpan apa yang dilakukannya," kata beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Rabu (29 Jun).
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan