Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir kesal dengan penangkapan penggiat media sosial yang didakwa kutuk TMJ

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad melahirkan kekesalan terhadap penahanan seorang penggiat media sosial malam semalam (9 Mei)

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir kesal dengan penangkapan penggiat media sosial yang didakwa kutuk TMJ

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 10 May 2019 09:01PM Dikemas Kini : 10 May 2019 09:03PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad melahirkan kekesalan terhadap penahanan seorang penggiat media sosial malam semalam (9 Mei), lapor BERNAMA.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak berkuasa telah membuat satu tangkapan terhadap seorang penggiat media sosial malam tadi.

"Seperti yang pernah saya tekankan sebelum ini, tidak ada mana-mana pemimpin di Malaysia yang bebas dari kritikan,” tulis Dr Mahathir di laman Twitter beliau pada Jumaat (10 Mei).

Dr Mahathir menegaskan rakyat bebas untuk mengkritik pemimpin, jika perlu, dan kebebasan bersuara adalah penting dalam sesebuah negara demokrasi.

“Kecuali ugutan, fitnah atau penghinaan terhadap raja-raja yang memerintah, mana-mana pemimpin boleh dikritik tanpa mengakibatkan terjejasnya hak rakyat untuk bersuara,” kata beliau.

Firdaus Abdillah, editor majalah online Neon Berapi. (Gambar: pipiyapong/Twitter)

Firdaus Abdillah, editor majalah online Neon Berapi. (Gambar: pipiyapong/Twitter)

Media sosial digemparkan dengan penahanan seorang penggiat media sosial, Firdaus Abdillah Hamzah - berusia 36 tahun - yang dipercayai menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Twitter namun tiada sebarang pengesahan.

Firdaus disiasat atas dakwaan menghina dengan sengaja untuk mencetuskan pelanggaran damai, lapor Malay Mail, yang menukil kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua polis Johor.

Pada Khamis malam, Firdaus membuat catatn di Twitter menyatakan bahawa beliau ditahan di balai polis dan memerlukan seorang peguam. Beliau kini dibebaskan dengan ikat jamin.

Sementara itu, menurut laporan Astro Awani, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata Istana Johor tiada kaitan dengan penahanan Firdaus yang dikatakan mengkritik seorang putera raja.

Istana Johor juga menyatakan ia tidak pernah membuat sebarang laporan polis dari dahulu hingga kini.

“Jikalau ada report (laporan) ia kemungkinan dari pihak lain. This have nothing to do with us (Ini tiada kaitan dengan kami),” tulis beliau di laman Twitter-nya, seperti ditukil Astro Awani. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan