Dr Mahathir gesa ASEAN supaya bantu Indonesia yang dilanda bencana
Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad berkata pada Khamis (4 Okt) bahawa Jawatankuasa ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) memainkan peranan penting dalam menyelaraskan dan memperluaskan bantuan dan sokongan kepada Indonesia, menyusuli gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi.
Sebuah helikopter tentera laut bersedia mendarat di bandar Palu. (Gambar: Bay Ismoyo/AFP)
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad berkata pada Khamis (4 Okt) bahawa Jawatankuasa ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) memainkan peranan penting dalam menyelaraskan dan memperluaskan bantuan dan sokongan kepada Indonesia, menyusuli gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi minggu lalu (28 Sep).
Dr Mahathir berkata beberapa kawasan di Sulawesi – Palu, Donggala dan Sigi – mengalami kerosakan besar akibat bencana alam itu.
Angka korban akibat bencana tersebut dilaporkan meningkat kepada 1,407 dan dijangka akan terus meningkat.
Lebih 60,000 rumah turut musnah dan 60,000 orang tidak mempunyai tempat tinggal.
“Tragedi itu memang menyayat hati, tetapi sebagai jiran, kita tidak mahu duduk berdiam diri dan melihat dari sisi sahaja.
“Namun untuk cuba membantu tanpa penyelarasan yang teratur dan perancangan yang strategik akan menghasilkan situasi yang lebih huru-hara. Daripada membantu, kita mungkin berkesudahan menyusahkan pihak penyelamat yang lain.
“Adalah jelas bahawa dalam keadaan seumpama itu, ACDM mempunyai peranan penting,” kata Dr Mahathir semasa majlis perasmian mesyuarat ACDM ke-33, Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN ke-6 mengenai Pengurusan Bencana hari ini (4 Okt).
Perdana Menteri Malaysia itu juga melahirkan keyakinan bahawa setiap negara anggota ACDM akan menghulurkan bantuan ke Indonesia menerusi badan pengurusan bencana masing-masing.
“Secara bersama, saya yakin kita dapat membantu jiran kita bagi mengurangkan beban mereka,” katanya.
Beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA) sudah melaksanakan penyelarasan dengan agensi-agensi berkenaan dan bersiap siaga untuk menghantar pasukan mencari dan menyelamat serta bantuan kemanusiaan ke Indonesia.
Di majlis itu, Dr Mahathir juga menyaksikan penyerahan bantuan kemanusiaan bernilai RM1 juta (S$332,750) kepada Tabung Bantuan Sulawesi.
Dr Mahathir berkata, risiko bencana perlu dipandang serius, memandangkan kesan buruk terhadap nyawa dan kehidupan serta pembangunan negara itu. Beliau menambah, hampir separuh daripada bencana di dunia berlaku di Asia, menjadikan rantau ini sebagai kawasan paling berkemungkinan besar dilanda bencana.
Menurut data global, sepanjang tempoh 2000 hingga 2017, Rantau Asia Pasifik mencatatkan 45 peratus bencana global, 60 peratus kematian bencana global dan 85 peratus bencana global yang menjejaskan orang ramai.
“Malaysia menyokong bahawa bencana tidak hanya dilihat dalam konteks bencana semula jadi tetapi dinilai bersama-sama krisis manusia dan konflik.
“Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Respon Darurat (AADMER) terbukti menjadi perjanjian serantau yang dipuji kerana menjadi antara amalan terbaik, progresif dan bersepadu dan ia tertakluk kepada semua 10 negara anggota ASEAN.
“Komitmen tinggi ASEAN untuk mengurangkan kesan bencana hendaklah diterjemahkan dalam tindakan bersama bagi langkah kecemasan bersama bencana selain berusaha ke arah menjadi pemimpin dunia dalam pengurusan bencana,” kata Dr Mahathir.
Ditanya mengenai laporan media bahawa tiga boya air laut dalam yang digunakan untuk mengumpul data bagi sistem amaran awal tsunami dilupuskan memandangkan ia tidak lagi berfungsi, beliau berkata kerajaan akan meneliti perkara itu.
Penempatan alat berkenaan yang dihasilkan dari Norway dan bernilai RM7.2 juta (S$2.4 juta) itu dilakukan sejak 2006 di tiga lokasi, iaitu Laut Andaman, Laut Sulu dan Laut China Selatan.
Projek boya tsunami atau tsunameter adalah hasil kerjasama antara Malaysia dengan Indonesia, menyusuli gempa bumi dan tsunami Aceh 2004, yang mengorbankan lebih 230,000 orang dari 14 negara, termasuk Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.