Dr Mahathir dan isteri tidak pindah ke Seri Perdana, gesa tidak terus diberi hadiah
Kurang dua minggu menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menerima begitu banyak ucapan tahniah di samping pelbagai hadiah daripada orang ramai.
Gambar yang dimuat naik ke laman Facebook Datin Paduka Marina Mahathir. (Gambar: Marina Mahathir/ Facebook)
KUALA LUMPUR: Kurang dua minggu menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menerima begitu banyak ucapan tahniah di samping pelbagai hadiah daripada orang ramai.
Antaranya termasuk kiriman bunga, makanan dan hadiah-hadiah lain.
"Ibu saya sangat bersyukur dan menghargai ingatan tulus ikhlas, doa dan ucapan anda," tulis Datin Paduka Marina Mahathir dalam catatan Facebooknya semalam (23 Mei).
Namun, tambah beliau, ibunya meminta pemahaman orang ramai supaya tidak lagi mengirimkan sebarang bentuk hadiah. "Salah satu peraturan kerajaan Pakatan Harapan adalah seorang ahli politik tidak dibenarkan menerima sebarang hadiah kecuali bunga dan makanan," tulis beliau lagi.
Dalam pada itu, Datin Paduka Marina turut mendedahkan bahawa ibu bapanya tidak akan berpindah ke Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya. Sebaliknya, mereka akan terus tinggal di rumah sendiri, katanya.
"Ia selesa tapi tidak ada ruang lagi untuk barang-barang lain,” tambah beliau sambil menyampaikan permintaan Dr Siti Hasmah kepada orang ramai supaya "tidak lagi mengirim hadiah walaupun menjelangnya Hari Raya."
Datin Paduka Marina selanjutnya berkata Dr Siti Hasmah sebaliknya meminta orang ramai memberi sumbangan mereka kepada badan amal pilihan masing-masing.
"Perbuatan itu lebih menggembirakannya," tambah beliau dalam catatan Facebooknya.
Dr Mahathir, 92 tahun, kembali menerajui kerajaan Malaysia menyusuli kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum baru-baru ini. Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia sehari selepas keputusan PRU14 diumumkan, iaitu pada 10 Mei, sekali gus menjadi perdana menteri tertua di dunia.
Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat dari 1981 hingga 2003.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.