Dr Mahathir dakwa orang Melayu 'hilang segalanya' selepas beliau letak jawatan PM
(Gambar fail: Bernama)
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad mendakwa orang Melayu di negara itu "kehilangan segala-galanya" selepas beliau meletakkan jawatan pada Februari 2020.
"Memang benar orang Melayu menjadi sangat miskin selepas saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri," kata mantan Perdana Menteri ketujuh Malaysia itu di Facebook pada Isnin (27 Mac).
“Saya berusaha membaiki keadaan orang Melayu apabila menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
"Tetapi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan dan saya pun hilang jawatan,” katanya merujuk kepada gerakan politik dikenali sebagai “Langkah Sheraton” yang menyaksikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan kerajaan PH pada Februari 2020.
"Sebab itu saya mengeluh sekarang," tambah Dr Mahathir dalam catatannya di Facebook itu untuk menyangkal dakwaan yang dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Awal bulan ini, Encik Anwar dipercayai telah mengkritik seorang bekas pemimpin negara itu semasa kongres nasional khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan di Shah Alam.
Tanpa menyebut sebarang nama, Encik Anwar membayangkan bekas pemimpin itu sebagai “ada orang dulu, 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, sekarang mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham”.
“Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu. Untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat.”
Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia dari Julai 1981 hingga Okt 2003 dan sekali lagi dari Mei 2018 hingga Feb 2020.
Dalam ucapannya, Encik Anwar berkata pemimpin itu hanya mengadu tentang orang Melayu kehilangan penguasaan mereka di negara itu selepas beliau tidak lagi berkuasa.
Dr Mahathir pada Isnin menuntut Encik Anwar Ibrahim memberi bukti bahawa “saya telah membolot, untuk keluarga saya dan anak-anak saya.”
“Membuat tuduhan itu mudah. Tetapi tuduhan yang tidak dibuktikan dengan jelas, tidak boleh diterima sebagai benar. Itu fitnah,” katanya.
Dr Mahathir juga menuduh kerajaan di bawah Encik Anwar sebagai menolak Perlembagaan negara selepas perhimpunan pro-Melayu dibatalkan.
Satu acara hak Melayu telah dijadualkan berlangsung pada 19 Mac di Kuala Lumpur, dengan Dr Mahathir sebagai tetamu terhormat. Ia dibatalkan selepas dua tempat menarik balik kebenaran untuk menganjurkan cara tersebut.
Dr Mahathir pada Isnin berkata beliau telah menyertai acara itu - anjuran sebuah kumpulan bernama Sekretariat Tanah Air untuk menyedar orang Melayu akan masalah mereka dengan pelancaran "Proklamasi Melayu."
“Isi kandungan proklamasi ini menepati peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Perlembagaan UMNO,” katanya.
Beliau mendakwa dengan menghalang pelancaran proklamasi itu bermakna kerajaan pimpinan Encik Anwar menolak Perlembagaan negara dan Perlembagaan UMNO.
“UMNO tidak membantah. UMNO tidak lagi berpegang kepada matlamat penubuhannya. Sebab itu 'puak lain' perlu diadakan untuk menjaga hak orang Melayu dan Bumiputera lain.
“Apabila Kerajaan menghalang pihak lain melancarkan proklamasi ini, ia mengkhianati janji dalam Perlembagaan Negara. Sebab itu orang Melayu perlu prihatin terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim,” kata Dr Mahathir.
Beliau sebelum ini mengkritik kerajaan apabila acara itu pertama kali dibatalkan, mendakwa bahawa pentadbiran Encik Anwar adalah "kerajaan kuku besi" yang tidak "membenarkan rakyat menyuarakan pendapat mereka atau mengkritiknya".
Free Malaysia Today melaporkan ketika itu bahawa Dr Mahathir berkata bahawa beliau tidak mempunyai bukti tetapi yakin bahawa Encik Anwar dalang di sebalik pembatalan itu kerana "tidak ada perkara seperti ini boleh dilakukan tanpa persetujuan atau arahannya".
Sebelum acara itu dibatalkan, Encik Anwar telah mengarahkan pasukan keselamatan supaya bersiap siaga terhadap api perkauman dan agama di negara itu.
“Sebarang usaha oleh sesiapa sahaja yang cuba … memanaskan isu-isu perkauman atau agama di negara ini tidak akan dibenarkan,” kata Encik Anwar pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet pada 17 Mac.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Dr Mahathir yang memimpin Gerakan Tanah Air (GTA) gagal mempertahankan kerusi Langkawi yang ditandingi atas tiket Pejuang hingga hilang deposit.
Pejuang yang bertanding di 121 kerusi kalah semuanya.
Selepas itu Dr Mahathir bertindak keluar Pejuang sebelum menyertai PUTRA yang dipimpin Ibrahim Ali.
Pejuang yang dipimpin anak lelakinya Mukhriz kemudian memohon menyertai Perikatan Nasional (PN) tetapi telah ditolak oleh pemimpin gabungan itu termasuk Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.