Dr Mahathir berjaya jalani prosedur perubatan elektif; kini semakin pulih
Dr Mahathir Mohamad berjaya menjalani prosedur perubatan elektif dan kini semakin pulih, menurut Institut Jantung Negara (IJN).

(Gambar fail: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berjaya menjalani prosedur perubatan elektif dan kini semakin pulih, menurut Institut Jantung Negara (IJN).
IJN dalam satu kenyataan pada Ahad (9 Jan) menyatakan prosedur, yang dijalankan semalam oleh sepasukan doktor dari institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya, berjalan dengan lancar seperti dirancang.
“Beliau telah sedar dan bersemangat tinggi. Berdasarkan kepada perkembangan semasa klinikal, beliau dijangka dibenarkan keluar dari IJN dalam beberapa hari lagi,” menurut kenyataan IJN tersebut.
Mantan perdana menteri itu dimasukkan ke IJN pada 16 Disember tahun lalu untuk menjalani beberapa siri pemeriksaan kesihatan dan pemerhatian lanjut sebelum melalui prosedur berkenaan.
Berikutan prosedur operasi institusi itu, IJN memaklumkan pelawat tidak dibenarkan melawat Dr Mahathir.
“Tun Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, ingin merakamkan ucapan terima kasih atas segala ucapan selamat, keprihatinan serta doa daripada orang ramai,” menurut kenyataan itu lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.