Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir beri PM Anwar Ibrahim 7 hari tarik balik kenyataan terhadapnya

Mantan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad memberikan Encik Anwar Ibrahim tempoh tujuh hari untuk menarik balik kenyataan yang dibuat semasa acara politik yang memberi andaian bahawa beliau seseorang yang menerima rasuah dan seorang yang jahat.

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad memberikan Encik Anwar Ibrahim tempoh tujuh hari untuk menarik balik kenyataan yang dibuat semasa acara politik yang memberi andaian bahawa beliau seseorang yang menerima rasuah dan seorang yang jahat.

Menurut media tempatan, Dr Mahathir berkata meskipun Encik Anwar tidak menyebut namanya dalam ucapan beliau, ia dapat difahami secara meluas dalam ucapan itu siapakah yang dimaksudkan Encik Anwar.

Awal bulan ini, Encik Anwar dipercayai mengkritik bekas pemimpin tertentu di negara itu dalam satu kongres kebangsaan khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan di Shah Alam.

Tanpa menyebut sebarang nama, Encik Anwar ketika di acara politik itu berkata bahawa seorang bekas pemimpin yang berkhidmat selama dua penggal sebagai perdana menteri, dalam tempoh "22 tahun dan (lagi) 22 bulan" - menggunakan kedudukannya untuk memanfaatkan dirinya, keluarganya dan anak-anaknya.

Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri Malaysia dari Julai 1981 hingga Oktober 2003 dan sekali lagi dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

Menurut laporan The Malaysian Insight, Dr Mahathir pada Selasa (28 Mac) berkata Encik Anwar mempunyai masa tujuh hari untuk menyokong tuntutannya dengan bukti atau menarik balik kenyataannya.

"Meskipun Encik Anwar tidak menyebut nama saya, laporan media berbuat demikian. Saya adalah Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun dan kemudian 22 bulan. Itu yang disebut dalam ucapan Encik Anwar.

"Saya berikannya masa tujuh hari untuk menyokong tuntutannya dengan bukti atau tarik balik kenyataannya. Jika beliau tidak berbuat demikian, saya akan ambil apa sahaja tindakan yang wajar di bawah undang-undang sedia ada negara ini," Dr Mahathir dinukil sebagai berkata oleh The Malaysian Insight.

Menurut Dr Mahathir, kata-kata Encik Anwar itu memfitnah dan tidak harus dipandang ringan kerana beliau kini merupakan perdana menteri.

"Kini beliau merupakan Perdana Menteri, dan perdana menteri mempunyai tanggungjawab untuk tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan tanpa sebarang bukti jelas. Ini sebabnya mengapa hari ini saya memutuskan untuk menuntut supaya fitnah yang dilemparkan oleh Encik Anwar terhadap saya ditarik balik," kata Dr Mahathir yang dinukil sebagai berkata oleh The Malay Mail.

The Malay Mail melaporkan bahawa surat tuntutan terhadap Encik Anwar dihantar kepadanya pada petang Isnin (27 Mac).

Antara tuntutan yang dibuat oleh Dr Mahathir termasuk menarik balik kenyataan yang dibuat terhadapnya di acara politik PKR, serta untuk Encik Anwar membuat permohonan bertulis secara terbuka dan tidak bersyarat kepadanya.

Encik Anwar juga perlu mengadakan sidang media khas bagi permohonan maaf itu.

The Malay Mail melaporkan bahawa jika Encik Anwar gagal mematuhi surat tuntutan itu, Dr Mahathir akan melaksanakan prosiding undang-undang terhadapnya.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan