Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir antara individu disiasat SPRM berhubung isu pengisytiharan harta

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir antara individu disiasat SPRM berhubung isu pengisytiharan harta

Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: BERNAMA)

GUA MUSANG: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata, mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad adalah antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata, ekoran siasatan tersebut, kedua-dua anaknya, Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir, juga diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

“Saya tidak berhasrat untuk memperincikan lagi maklumat lanjut berhubung kes itu, tentang apa kesalahan yang dilakukan kesemua mereka.

“Biarkan SPRM meneruskan siasatan terlebih dahulu sehingga saya fikirkan satu masa yang sesuai untuk kita nyatakan hasil dapatan kes siasatan berkenaan,” katanya.

Encik Azam berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pejabat SPRM cawangan Gua Musang yang baharu di tingkat 1, Bangunan Persekutuan daerah itu di Gua Musang pada Khamis (25 Apr).

Pada 18 Januari lepas, SPRM meminta kedua-dua anak Dr Mahathir, Encik Mirzan dan Encik Mohkzani, mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangan sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.

Encik Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara itu, Encik Azam diminta mengulas mengenai siasatan kes menantu mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Encik Azam berkata ada petunjuk-petunjuk baharu bahawa Muhammad Adlan Berhan berbelanja menggunakan kad kredit di luar negara.

“Hasil pemantauan SPRM, beliau (Muhammad Adlan Berhan) ada menggunakan kad kreditnya dan berbelanja di beberapa buah negara.

“SPRM telah memohon kepada pihak Interpol bagi tujuan ‘bendera merah’ ke atasnya dalam kes ini dan kami masih mengesannya untuk dituduh di mahkamah,” katanya.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan