Dr Mahathir anggap latihan tentera di perairan negara provokatif
Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad pada Rabu (4 Sep) berkata beliau tidak suka latihan ketenteraan diadakan di perairan negara kerana menyifatkannya sebagai provokatif dan menegaskan bahawa terdapat keperluan untuk mengurangkannya demi keamanan sejagat, lapor agensi berita Rusia Sputnik.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Lai Seng Sin/Reuters)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad pada Rabu (4 Sep) berkata beliau tidak suka latihan ketenteraan diadakan di perairan negara kerana menyifatkannya sebagai provokatif dan menegaskan bahawa terdapat keperluan untuk mengurangkannya demi keamanan sejagat, lapor agensi berita Rusia Sputnik.
"Secara keseluruhan, kami tidak begitu berminat untuk mengadakan latihan sedemikian. Ia selalunya amat provokatif. Baru-baru ini kami mengambil bahagian (dalam latihan bersama) dengan kumpulan ASEAN, dengan Amerika Syarikat (AS), namun saya telah menyatakan pendirian saya dalam perkara ini.
"Saya tidak suka latihan ketenteraan diadakan di perairan negara kami kerana ia cenderung untuk membangkitkan kemarahan negara-negara lain. Saya rasa kita harus mengurangkan aktiviti ketenteraan jika mahukan keamanan," kata Dr Mahathir di luar Forum Ekonomi Timur (EEF) di Vladivostok, Rusia ketika disoal sama ada Malaysia bercadang mengadakan latihan ketenteraan bersama.
Perdana menteri itu sebelum ini menyelar Latihan Maritim ASEAN-AS yang bermula pada 2 September dan menyifatkannya sebagai tidak mempunyai sebarang makna, turut meluahkan kebimbangan bahawa ia mungkin menyebabkan China berasa terancam dan sekali gus meningkatkan keupayaan pasukan tentera lautnya.
Beliau juga berkata Amerika Syarikat sepatutnya mengadakan latihan ketenteraan sedemikian di wilayahnya sendiri.
Bandaraya Vladivostok di Timur Jauh Rusia menganjurkan edisi kelima EEF dari 4 hingga 6 September dan Agensi Informasi Antarabangsa Rossiya Segodnya adalah rakan media rasmi acara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.