Skip to main content

Dunia

Dr Mahathir, Ahmad Zahid capai kata sepakat tarik balik saman di mahkamah

Anggaran Waktu Membaca:
 Dr Mahathir, Ahmad Zahid capai kata sepakat tarik balik saman di mahkamah

Dr Mahathir, Ahmad Zahid capai kata sepakat tarik balik dua saman di mahkamah. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Jul 2025 01:17PM Dikemas Kini : 22 Jul 2025 01:19PM
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini (22 Jul) mencapai kata sepakat untuk menarik balik dua tuntutan saman fitnah yang dikemukakan antara mereka di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir, 100 tahun, selaku plaintif, menarik balik saman yang difailkan terhadap Ahmad Zahid, 73 tahun, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu “kutty”, tanpa kebebasan untuk memfailkan semula tuntutan itu.

Sementara itu, Encik Ahmad Zahid pula menarik balik saman terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukannya bagi mempengaruhi mantan Perdana Menteri itu untuk campur tangan dalam prosiding kesnya yang masih berjalan di mahkamah.

Encik Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah juga menarik balik prosiding menghina mahkamah yang difailkan terhadap Dr Mahathir berkaitan sidang media yang diadakan di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 5 Disember tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan permohonan kedua-dua pihak dan memerintahkan kes diselesaikan tanpa sebarang perintah kos.

Kes saman Dr Mahathir terhadap Encik Ahmad Zahid adalah berkaitan dakwaan kenyataan berbaur fitnah mengenai isu “kutty”, yang didakwa dibuat semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan diterbitkan semula oleh beberapa portal berita.

Prosiding menghina mahkamah pula membabitkan tindakan Dr Mahathir yang mengadakan sidang media dengan menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalannya, selepas memberi keterangan dalam samannya terhadap Encik Ahmad Zahid berhubung isu sama.

Dalam kes saman isu “kutty”, Dr Mahathir selesai memberi keterangan pada 5 Disember tahun lalu, manakala anaknya Mukhriz Mahathir, menjadi saksi terakhir plaintif pada 9 Disember tahun sama.

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar prosiding menghina mahkamah, bagaimanapun peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir memaklumkan bahawa kedua-dua pihak sudah mencapai kata sepakat.

Perkara itu turut disahkan peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Encik Ahmad Zahid.

Ketika ditemui media selepas prosiding, kedua-dua peguam itu berkata semua kes berkenaan dihentikan demi mengutamakan kepentingan rakyat dan memulihkan keharmonian dalam kalangan pemimpin negara.

Kedua-dua ahli politik itu tidak hadir pada prosiding hari ini.
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita