Skip to main content

Dunia

Dos penggalak berupaya kekalkan tahap perlindungan terhadap varian Omicron

Dos penggalak COVID-19 berupaya mengekalkan tahap perlindungan yang ketara terhadap penyakit bergejala ringan yang disebabkan oleh varian Omicron, sekali gus berhasil mencegah kemerosotan/penurunan yang mendadak pada tahap keberkesanan vaksin.

Anggaran Waktu Membaca:
Dos penggalak berupaya kekalkan tahap perlindungan terhadap varian Omicron

(Gambar fail: Henry Nicholls/Reuters)

Diterbitkan : 11 Dec 2021 06:33PM Dikemas Kini : 11 Dec 2021 06:36PM

LONDON: Dos penggalak COVID-19 berupaya mengekalkan tahap perlindungan yang ketara terhadap penyakit bergejala ringan yang disebabkan oleh varian Omicron, sekali gus berhasil mencegah kemerosotan/penurunan yang mendadak pada tahap keberkesanan vaksin.

Demikian menurut Agensi Keselamatan Kesihatan Britain pada Jumaat (10 Dis).

Dapatan itu dibentangkan berdasarkan analisis terhadap data terawal berkaitan Omicron sejauh ini.

"Perangkaan awal ini perlu diteliti lagi tetapi ia kini menunjukkan bahawa beberapa bulan selepas suntikan kedua, risiko menjangkiti Omicron adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan varian Delta," jelas Dr Mary Ramsay, Ketua Imunisasi di UKHSA.

"Data juga menunjukkan, risiko ini sangat berkurangan jika seseorang mendapatkan dos penggalak. Jadi saya menggesa orang ramai supaya mendapatkan dos penggalak jika mereka layak," tambah Dr Mary.

Analisis ke atas 581 pesakit yang dijangkiti Omicron mendapati, perlindungan dua dos AstraZeneca atau Pfizer-BioNTech jauh lebih rendah terhadap jangkitan bergejala berbanding Delta.

Sungguhpun demikian, apabila seseorang mendapatkan dos penggalak Pfizer, tahap perlindungan terhadap jangkitan Omicron adalah sekitar 70 peratus bagi mereka yang sebelum itu sudah mendapatkan vaksin AstraZeneca.

Tahap perlindungan bagi mereka yang sebelum itu mendapatkan vaksin Pfizer dan kemudian mendapatkan dos penggalak keluaran sama pula adalah 75 peratus.

Ini berbanding tahap perlindungan vaksin terhadap varian Delta, iaitu sekitar 90 peratus, selepas mendapatkan dos penggalak.

UKHSA turut mendapati varian Omicron membiak lebih cepat berbanding varian Delta. Jadi risiko dijangkiti semula varian Omicron adalah antara tiga hingga lapan kali lebih tinggi.

Berdasarkan kadar kenaikan kes sekarang ini, bilangan jangkitan Omicron dijangka membentuk lebih 50 peratus kes COVID-19, menurut UKHSA.

Jumlah kes yang dicatat di Britain turut diramal melebihi satu juta menjelang hujung bulan ini. 

Sumber : Reuters/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita