Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Donald Trump lancar bidaan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Donald Trump lancar bidaan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2024

(Gambar: AFP/Alon Skuy)

Diterbitkan : 16 Nov 2022 12:25PM Dikemas Kini : 16 Nov 2022 11:57PM
PALM BEACH: Pembantu Donald Trump memfailkan dokumen-dokumen untuk bekas presiden itu bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2024 pada Selasa (15 Nov).

Ini ketika Encik Trump berada di pusat peranginan Florida miliknya di mana beliau dijangkakan mengumumkan tentang bidaannya untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut.
 
Pengumuman Encik Trump yang dijangka dibuat pada lewat Selasa menyusuli prestasi mengecewakan dalam pilihan raya pertengahan penggal minggu lalu, di mana ramai anggota parti Republican mempersalahkannya atas kekalahan yang dialami parti tersebut.
Bradley Crate, yang pernah bertugas untuk pertubuhan-pertubuhan politik Encik Trump, bagaimanapun memfailkan dokumen-dokumen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan Amerika Syarikat (AS) bagi menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dipanggil "Donald J Trump for President 2024" (Donald J Trump sebagai Presiden 2024).

Pelancaran kempen Encik Trump pada peringkat awal mungkin bertujuan untuk memberi kelebihan kepada dirinya dalam pencalonan Parti Republican pada 2024.

Pesaing-pesaing utama Encik Trump termasuk mantan naib presidennya, Mike Pence, yang berusia 63 tahun.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Encik Trump, beliau bertekad untuk melancarkan kempennya meskipun meraih keputusan bercampur-campur dalam sokongan terhadap dirinya tahun ini.

Kekalahan yang dialami calon-calon senator yang disokongnya, iaitu dokto selebriti Mehmet Oz di Pennsylvania dan Don Bolduc di New Hampshire turut menyumbang kepada kegagalan parti Republican untuk memegang majoriti kerusi demi menguasai Dewan Senat AS.

Sebilangan calon sehaluan dengan Encik Trump, yang berkempen di platform-platform dengan berteraskan dakwaan-dakwaan berlaku penipuan pilihan raya, juga kecundang.

Sementara itu, kolumnis konservatif Marc Thiessen menggesa Encik Trump supaya jangan bertanding sekali lagi dalam pilihan raya presiden kerana sudah mendapat tanda-tanda beliau tidak boleh menang berdasarkan sokongan daripada para penyokong dan sekutu-sekutunya.
 
Sumber : Reuters/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa