Skip to main content

Dunia

Dokumen rasmi kesan banjir M'sia akan dikeluarkan minggu depan

Anggaran Waktu Membaca:

JITRA: Dokumen rasmi laporan khas kesan banjir yang melanda beberapa negeri Malaysia termasuk Selangor dan Pahang bulan lepas akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) minggu depan. 

Ketua Perangkawan Malaysia Dr Mohd Uzir Mahidin berkata buat masa ini, bancian berkaitan bencana tersebut sudah di peringkat akhir sebelum satu dokumen rasmi diserahkan kepada kerajaan dan menjadi rujukan awam.

Katanya, sebelum ini, dapatan awal penilaian kerugian akibat banjir yang berlaku di 50 daerah di Malaysia dianggarkan antara RM5.3 bilion (S$1.7 bilion) hingga RM6.5 bilion (S$2 bilion) yang dijalankan seminggu selepas kejadian banjir luar biasa itu berlaku.

Daripada jumlah itu, kerugian membabitkan aset awam dan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan adalah tertinggi iaitu RM2 bilion (S$642 juta), manakala kerugian lain meliputi kerosakan tempat kediaman antara RM1.3 bilion (S$417 juta) hingga RM1.4 bilion (S$449 juta), kenderaan RM1 bilion (S$320 juta) hingga RM1.3 bilion (S$417 juta), pembuatan (RM800 juta (S$256 juta) hingga RM1 bilion (S$320 juta), premis perniagaan (RM500 juta (S$160 juta) hingga RM600 juta(S$192 juta) dan pertanian (RM40.9 juta (S$13 juta) hingga RM49.9 juta (S$16 juta).

"Inilah tindakan proaktif Jabatan Perangkaan Malaysia untuk membantu negara mengetahui kesan kemusnahan banjir yang turut dijalankan bersama dengan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri yang terlibat dalam mendaftarkan mangsa banjir dan yang menyalurkan bantuan.

“Angka-angka ini juga kita jadikan sebagai asas anggaran nilai yang saya sebutkan tadi,” katanya ketika ditemui pada program DOSM bersama komuniti di Kampung Wang Tepus di Jitra pada Khamis (20 Jan). 

Menurut Dr Mohd Uzir, menerusi laporan tersebut ia akan dapat membantu kerajaan merancang dan membaik pulih kerosakan yang dialami serta menyediakan peruntukan sewajarnya untuk mempercepatkan pembaikan kemudahan infrastruktur awam yang penting seperti jalan raya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita