Doktrin ketenteraan masa lampau akan pengaruhi masa depan peperangan di Asia: IISS
Sebuah laporan baharu memberi amaran bahawa doktrin ketenteraan yang masih dipengaruhi oleh perpecahan masa lampau, kini mewujudkan cabaran keselamatan baharu di rantau Asia Pasifik.
Seorang anggota tentera Thailand berjalan berhampiran sempadan Thailand-Kemboja di kawasan Chong Chub Ta Mok, Wilayah Surin, Thailand, pada 20 Ogos 2025. (Gambar fail: REUTERS/Chalinee Thirasupa)
Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik (IISS), penganjur Dialog Shangri-La, menerbitkan satu penilaian berhubung keselamatan serantau menjelang persidangan pada hujung minggu ini.
Ia menyorot risiko pembangunan tidak terkawal teknologi pertahanan serta penularan keupayaan nuklear yang membimbangkan.
Rantau Asia Pasifik tidak lagi aman sepenuhnya.
Daripada pertempuran di sempadan Thailand dengan Kemboja kepada pertempuran singkat antara India dengan Pakistan, ia menyaksikan ancaman keselamatan yang semakin meningkat.
Ancaman tersebut juga mungkin terus berkekalan, menurut laporan IISS.
Berpangkalan di London, terbitan terkininya itu menyorot apa yang diistilahkan sebagai garis keretakan utama, yang merentasi Semenanjung Korea, Selat Taiwan dan Laut China Selatan.
Menurut laporan tersebut, keretakan itu boleh membawa kepada konflik
antara kuasa-kuasa bersenjata nuklear.
Semua ini ketika satu perang besar melanda Eropah, dan satu lagi di Timur Tengah, yang menjejas ekonomi dan mengancam kestabilan politik jangka panjang.
Laporan itu menegaskan, walaupun cabaran keselamatan sentiasa kompleks,
kadar, skop dan kesengitannya meningkat secara dramatik, dan negara-negara mengukuhkan pertahanan dan strategi mereka, sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan peperangan.
Tambah laporan itu - doktrin ketenteraan, formal atau tidak formal, menjadi anak kunci kepada cara angkatan tentera merancang gerakan mereka semasa perang.
India sebagai contoh, menumpukan doktrin ketenteraannya kepada pengurusan cabaran yang ditimbulkan oleh negara-negara jirannya - Pakistan dan China.
Manakala kuasa besar China dan Amerika Syarikat mempunyai "visi yang berlawanan" berhubung kemungkinan konflik berkaitan Taiwan, selain merebut kedudukan yang kukuh di rantau Asia Pasifik.
Walaupun doktrin-doktrin tersebut tidak dapat meramalkan bila peperangan boleh meletus, ia boleh memberi gambaran tentang cara negara memilih untuk menangkis ancaman, dan melindungi apa yang mereka sebutkan sebagai milik mereka.
Ia sebahagian besarnya masih dibentuk oleh geografi seperti yang dilihat dalam pertikaian sempadan dan maritim.
Asia Pasifik amat terdedah kepada perubahan arus geopolitik di Lautan Hindi - terutamanya untuk transit bekalan tenaga dan laluan perdagangan.
Contoh paling jelas, cengkaman Iran terhadap Selat Hormuz, serta sekatan Amerika ke atas laluan perairan penting itu.
Antara risiko lain yang boleh menyemarakkan api peperangan termasuk kebangkitan kecerdasan buatan (AI), peperangan dron dan teknologi kuantum, sedang negara-negara bersaing untuk keutamaan teknologi.
Akhir sekali, laporan itu memberi amaran tentang kemungkinan ancaman perang nuklear yang semakin meningkat.
Senjata China dan Korea Utara yang semakin bertambah mendorong negara-negara serantau ke arah mengembangkan keupayaan nuklear mereka sendiri.
Laporan itu memberi amaran bahawa perkembangan tersebut, jika tidak dikawal, mendorong dunia lebih dekat kepada perlumbaan senjata nuklear baharu, dengan Asia-Pasifik sebagai pusatnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.