Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Doktor kontrak M'sia hampa tiada jaminan masa depan, faedah pekerjaan sedang COVID-19 berlarutan

Sepanjang setahun lalu, seorang doktor kontrak dengan kementerian kesihatan Malaysia, yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Yeo, berada di barisan hadapan mengendalikan pesakit COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor kontrak M'sia hampa tiada jaminan masa depan, faedah pekerjaan sedang COVID-19 berlarutan

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 13 Jul 2021 09:35PM Dikemas Kini : 13 Jul 2021 09:46PM

KUALA LUMPUR: Sepanjang setahun lalu, seorang doktor kontrak dengan kementerian kesihatan Malaysia, yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Yeo, berada di barisan hadapan mengendalikan pesakit COVID-19.

Biarpun rasa tidak selesa memakai kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) sepanjang hari, Dr Yeo tetap bertahan demi menjalankan tugas.

Namun, hakikatnya kedudukan beliau sebagai doktor kontrak mencetuskan kebimbangan khususnya terhadap masa depan yang masih menjadi tanda tanya apabila tiada sebarang jaminan berhubung status kontrak.

Ini meskipun tugasan yang dijalankan adalah sama seperti pegawai perubatan tetap.

"Semasa pandemik ini, semua doktor bekerja keras - sama ada doktor tetap atau pun doktor kontrak," katanya dalam wawancara bersama Mediacorp.

"Namun paling menyedihkan adalah meskipun doktor kontrak bekerja keras sama seperti doktor-doktor lain, kami tidak diberi jaminan pekerjaan dan tidak banyak peluang untuk menceburi bidang pengkhususan," katanya.

Dr Yeo tergolong dalam ribuan doktor kontrak yang digajikan di bawah sistem jagaan kesihatan awam Malaysia, yang ditawarkan pekerjaan kontrak oleh pihak kerajaan di bawah satu sistem yang diperkenalkan pada 2016.

Menurut media tempatan sistem itu pada mulanya bertindak sebagai huraian sementara apabila kerajaan tidak mampu menawarkan jawatan tetap. Namun isu itu berterusan dan kumpulan doktor yang diberi kontrak sementara terus tidak ditukar menjadi pegawai perubatan tetap.

Ramai daripada mereka yang berada di barisan hadapan dalam usaha kerajaan melawan COVID-19 meluahkan rasa kecewa terhadap layanan tidak adil, termasuk jaminan pekerjaan, kurang faedah pekerjaan seperti tawaran kenaikan pangkat dan kurang peluang mendapat latihan kepakaran.

Sebuah kempen online bernama #HartalDoktorKontrak menjadi tular baru-baru ini.

Menteri Kesihatan Adham Baba akur bahawa masalah itu wujud dan dalam satu sidang media baru-baru ini meminta doktor kontrak agar bersabar sementara isu dihadapi mereka dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. 

Beliau berkata setakat 31 Mei, terdapat kira-kira 35,000 pekerja jagaan kesihatan kontrak di merata negara itu, merangkumi sekitar 23,000 doktor, 5,000 pegawai perubatan gigi dan 7,000 ahli farmasi.

Dr Adham juga menarik perhatian bahawa sesetengah daripada mereka akan diberikan jawatan tetap berdasarkan merit dan prestasi mereka semasa menjalani latihan di hospital.

"BLACK MONDAY"

Gerakan menyokong doktor kontrak mencapai kemuncaknya dengan pelancaran kempen "Kod Hitam" di media sosial.

Inisiatif itu yang dianjurkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Bahagian berkaitan pelatih, pegawai dan pakar perubatan (Schomos), menggalakkan orang ramai menukar gambar profil dalam media sosial mereka kepada hitam putih atau satu warna mulai 1 Julai.

Pada Selasa (13 Jul), Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan berbincang dengan Kabinet berkenaan rayuan doktor kontrak yang mahu dilantik ke jawatan tetap dalam sektor perkhidmatan awam.

Namun tambahnya perkara itu perlu dibincang dengan teliti memandangkan ia akan melibatkan kos yang tinggi iaitu lebih RM2 bilion (S$640 juta) kepada kerajaan dan dalam keadaan sekarang ada "keterbatasan sedikit."  

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan