Skip to main content

Dunia

Doktor direman sekali lagi berhubung kes penipuan sijil vaksinasi palsu di M'sia

Seorang doktor klinik swasta, yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes menjual sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar, hari ini (14 Jan) direman lagi di Mahkamah Majistret berhubung kes penipuan.

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor direman sekali lagi berhubung kes penipuan sijil vaksinasi palsu di M'sia

Sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu yang dirampas polis di Marang, Terengganu pada Sabtu lalu. (Gambar: Agensi berita)

MARANG: Seorang doktor klinik swasta, yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes menjual sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar, hari ini (14 Jan) direman lagi di Mahkamah Majistret berhubung kes penipuan.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan lelaki berusia 51 tahun itu direman sehingga esok (15 Jan) bagi membolehkan siasatan.

Lelaki itu, yang memakai kemeja-T berwarna kelabu dan berseluar jeans biru, tiba di Mahkamah Marang pada pukul 9.40 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt M Zambri Mahmud ketika dihubungi berkata permohonan reman itu dibuat selepas doktor berkenaan didakwa menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar dengan kadar bayaran tertentu, namun gagal menyediakan sijil tersebut kepada pelanggannya.

“Laporan ke atas doktor itu melibatkan pengadu yang menggunakan perkhidmatannya dengan membayar sebanyak RM450 (S$144) dan dijanjikan dalam masa 14 hari status di MySejahtera mereka (tertera) sebagai penerima vaksin, namun status tersebut tidak bertukar,” katanya.

Pada Sabtu lalu (8 Jan), doktor yang mendakwa dirinya golongan antivaksin itu ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 tanpa suntikan sebenar, namun dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Bagaimanapun, polis menahan semula doktor berkenaan pada pukul 12.00 tengah hari semalam. 

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa sebelum ini berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik berkenaan untuk tujuan vaksinasi. Namun daripada jumlah itu, pihaknya masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi tanpa suntikan.

Doktor berkenaan dipercayai mengenakan bayaran antara RM400 (S$128) hingga RM600 (S$193) kepada individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi tanpa melakukan suntikan yang sebenar.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita