Skip to main content

Dunia

Doktor di Terengganu didakwa minta rakan jadi ejen cari pelanggan untuk sijil vaksin palsu

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor di Terengganu didakwa minta rakan jadi ejen cari pelanggan untuk sijil vaksin palsu

Gambar Hiasan (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 11 Jan 2022 08:26AM Dikemas Kini : 11 Jan 2022 08:29AM

KUALA TERENGGANU: Menjadikan rakan-rakan sebagai ejen antara taktik yang dipercayai digunakan seorang doktor untuk mencari individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi COVID-19 palsu di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata susulan itu, seramai enam individu berusia antara 35 dan 57 tahun yang disyaki menjadi ejen doktor tersebut ditahan di sekitar Marang, Dungun dan Kuala Terengganu pada Ahad (9 Jan) untuk membantu siasatan.

"Mereka bukan kakitangan klinik tapi lebih kepada kawan-kawan, ejen ini cari orang untuk divaksin di klinik suspek. Mereka ditahan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai keterangan diambil," katanya kepada Bernama Isnin malam (10 Jan).

Beliau berkata ejen tersebut dibayar serendah RM50 (S$16), manakala bayaran dikenakan untuk mendapatkan sijil vaksinasi palsu adalah antara RM400 (S$129) hingga RM600 (S$193) bagi setiap pelanggan. 

Dalam satu sidang media Isnin (10 Jan), Rohaimi berkata doktor lelaki berusia 51 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa bantuan kakitangan klinik.

Sabtu lepas (8 Jan), doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan di sebuah klinik swasta di Marang, selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19.

Menurut Rohaimi, siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu telah berurusan dengan klinik tersebut untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat angka sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi palsu.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita