Doctors Without Borders sambung operasi di Gaza City, namun keadaan masih ‘menggerunkan’
Pertubuhan Médecins Sans Frontières (MSF), atau dikenali sebagai Doctors Without Borders, sudah memulakan semula operasi perubatan dan kemanusiaan secara terhad di Gaza City dengan berhati-hati selepas terpaksa menggantungnya buat beberapa minggu akibat pertempuran sengit.
Seorang kanak-kanak perempuan Palestin menerima hidangan makanan panas daripada dapur amal di kem pelarian Nuseirat yang terletak di tengah Carikan Gaza pada 21 Oktober 2025. (Gambar: AFP/Eyad Baba)
- Pertubuhan Médecins Sans Frontières (MSF), atau dikenali sebagai Doctors Without Borders, sudah memulakan semula operasi perubatan dan kemanusiaan secara terhad di Gaza City.
- Ini selepas pertubuhan tersebut terpaksa menggantung operasinya buat beberapa minggu akibat pertempuran sengit.
- Namun, petugas di lapangan berkata krisis kesihatan di Gaza kekal amat parah.
- “Apa yang memberi saya semangat ialah rakyat Palestin. Mereka antara insan paling berani yang pernah saya temui,” kata Cik Manera.
Dalam satu kenyataan pada Khamis (23 Okt), pertubuhan perubatan itu menyatakan bahawa pergerakan penduduk “dari selatan ke utara” sudah melebihi 400,000 sejak gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hamas bermula pada 10 Oktober.
Pergerakan itu menunjukkan para penduduk berpindah semula dari bahagian selatan Carikan Gaza ke arah utara - tempat di mana terletaknya Gaza City - namun ia bukanlah pemindahan kekal, “kerana tidak semua yang membuat perjalanan itu tinggal di utara,” tambah pertubuhan itu.
“Selepas pemantauan dan penilaian teliti, MSF telah memulakan semula sebahagian aktivitinya di sana, sementara kami terus berusaha untuk berada di tempat di mana para pesakit berada.”
Namun, petugas di lapangan berkata krisis kesihatan di Gaza kekal amat parah.
Bercakap kepada program "Asia First" terbitan CNA, penyelaras kecemasan MSF untuk Gaza, Claire Manera, menggambarkan keadaan itu sebagai “menggerunkan”, dengan bantuan masih disekat dan nyawa petugas kemanusiaan terus terancam.
“KEPERLUAN YANG SANGAT BESAR”
Dalam kenyataannya, MSF memaklumkan pihaknya terpaksa meninggalkan Gaza City pada 24 September di tengah-tengah serangan Israel yang semakin hebat bagi menyasarkan kumpulan Hamas.
Selepas gencatan senjata tercapai, pertubuhan itu membuka semula klinik rawatan lukanya di bandar berkenaan pada 15 Oktober untuk merawat ramai pesakit yang terpaksa menjalani berminggu-minggu tanpa akses kepada penjagaan dan balutan luka yang sesuai.
“Sejak itu, pasukan kami telah menerima lebih 640 pesakit - kebanyakannya mengalami kecederaan akibat trauma,” menurut kenyataan tersebut.
Namun, bantuan yang ada masih amat terhad, kata Cik Manera kepada Mediacorp.
Kadar penghantaran bantuan merosot secara mendadak selepas Israel mengambil alih kawalan lintasan itu dan menutupnya pada Mei 2024.
“Kami masih mempunyai lebih 200 tan peralatan perubatan di sempadan, dan halangan oleh pihak berkuasa Israel masih berterusan, menyebabkan kami tidak dapat membawa masuk bantuan dalam skala besar,” kata Cik Manera.
“Paras kekurangan zat makanan adalah amat tinggi. Mangsa yang terbakar akibat pengeboman tidak dapat sembuh. Kanak-kanak menderita kerana mereka memerlukan banyak kalori untuk pulih daripada luka terbakar tahap ketiga. Keadaannya amat mengerikan,” tambah beliau.
“Sebelum konflik, terdapat 600 lori yang memasuki Gaza setiap hari. Kini, dengan lebih 94 peratus kemudahan kesihatan musnah, keperluan amat besar. Jadi, 600 lori pun tidak mencukupi. (Namun) kini kami tidak melihat 600 lori sehari pun.”
PETUGAS BANTUAN DI BAWAH ANCAMAN
Walaupun operasi disambung semula, risiko terhadap petugas kemanusiaan kekal besar. Cik Manera menggambarkan keadaan itu sebagai “menakutkan”, dengan petugas bantuan juga tidak terkecuali daripada keganasan.
Kematian terbaharu melibatkan kakitangan MSF berlaku pada 5 Oktober apabila Abed El Hameed Qaradaya, 43 tahun, meninggal dunia akibat serpihan letupan dalam satu serangan pada 2 Oktober yang turut meragut nyawa rakan sekerjanya, Omar Hayek, dan mencederakan beberapa yang lain.
Mereka antara 15 kakitangan MSF yang terbunuh sejak perang di Gaza bermula pada 7 Oktober 2023. Cik Manera menyifatkan angka korban itu sebagai satu pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Keadaan di Gaza masih amat menakutkan. Semasa saya berada di sana dan menguruskan keselamatan pasukan, kami sentiasa memaklumkan kepada pihak berkuasa Israel tentang lokasi petugas kami setiap hari untuk memastikan keselamatan mereka,” kata beliau.
“Tetapi apa yang kami lihat ialah rakan-rakan kami masih terbunuh. Untuk bekerja dalam keadaan tanpa jaminan keselamatan adalah sesuatu yang amat mustahil.”
Cik Manera turut menambah bahawa hospital juga tidak terkecuali daripada serangan, dengan roket dan pengeboman di sekitar kemudahan perubatan menjadikannya mustahil bagi kakitangan untuk bekerja dengan selamat atau untuk bantuan sampai kepada mereka.
KRISIS KESIHATAN
Cik Manera turut menekankan bahawa keadaan kekal genting bagi para pesakit yang memerlukan pemindahan perubatan di luar Gaza, termasuk pesakit barah atau mereka yang memerlukan rawatan dialisis.
Terdapat lebih 15,000 orang yang memerlukan rawatan di luar Gaza, katanya.
“Hanya dalam tempoh Julai dan Ogos lalu, 740 orang meninggal dunia sementara menunggu pemindahan perubatan ini, dan satu daripada lima daripadanya adalah kanak-kanak,” kata beliau.
Pemindahan dikawal oleh pasukan Israel, katanya lagi, “jadi kami tidak bebas untuk membawa keluar para pesakit secepat yang perlu, dan keadaan masih belum selamat untuk berbuat demikian.”
Ramai pesakit yang mengalami luka terbakar dan kecederaan lain kini mengalami jangkitan akibat kekurangan air bersih dan bekalan steril.
“Luka mereka pada dasarnya sedang mereput, dan ini boleh menjadi keadaan kronik,” tambah beliau.
Pusat penjagaan kesihatan utama MSF di daerah Sheikh Radwan juga didapati musnah sebahagiannya apabila pasukan itu kembali pada awal bulan ini, menurut pertubuhan berkenaan.
Ia turut menyambung operasi penghantaran air di Gaza City sejak 14 Oktober, dengan membekalkan antara 90,000 hingga 180,000 liter air minuman setiap hari di sembilan hingga 14 lokasi agihan.
“Kami kini menilai kemungkinan untuk memperluaskan operasi ini memandangkan lebih ramai penduduk kembali dari selatan dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan air bersih di Gaza City,” menurut MSF dalam kenyataannya.
“MEREKA DATANG BEKERJA SETIAP HARI”
Walaupun berdepan cabaran besar, Cik Manera berkata beliau mendapat kekuatan daripada ketabahan rakan sekerjanya di Palestin.
“Apa yang memberi saya semangat ialah rakyat Palestin. Mereka antara insan paling berani yang pernah saya temui,” kata beliau.
“Kami mempunyai lebih 1,000 kakitangan Palestin, dan mereka datang bekerja setiap hari. Mereka tidak mempunyai rumah, tidak cukup makanan, tidak ada air bersih untuk diminum, namun mereka tetap bangun dan datang bekerja.
“Apabila mereka berbuat demikian, bagaimana saya tidak boleh melakukannya? Dan bagaimana dunia boleh berpaling?”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.