Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ditegur apabila anaknya buat bising, wanita ini dakwa M'sia tidak mesra kanak-kanak

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Seorang wanita menerima kecaman atas dakwaannya bahawa "Malaysia tidak mesra kanak-kanak" selepas pelanggan lain membuat aduan tentang anak perempuannya yang membuat bising sambil berlari-lari di dalam sebuah restoran.

Dalam satu catatan di media sosial yang sudah dipadamkan tetapi berjaya dimuat naik semula di pelbagai akaun Facebook, wanita itu difahamkan membawa dua anak perempuannya untuk bermakan malam di sebuah restoran makanan ala Korea di Johor Bahru, baru-baru ini.
Anak perempuannya masing-masing berusia satu tahun dan lima bulan. Ketika kejadian itu sekitar pukul 8.00 malam, restoran tersebut tidak sibuk, menurut portal berita Says memetik kata-kata wanita itu.

Oleh itu, setelah memberi makan kepada anak kecilnya, beliau mengeluarkan anaknya itu daripada kerusi bayi.

"Dia sangat ghairah selepas makan dan mula memekik dan berlari-lari dalam restoran," kata wanita itu.

"Apabila saya sedang jamu selera, seorang pelayan menghampiri saya dan berkata beberapa pelanggan lain mengadu anak-anak saya buat bising," tambahnya.

Pelayan itu kemudian memberitahu wanita tersebut supaya mengawal anaknya kerana berbahaya untuk membiarkan mereka berlari-lari di dalam restoran kerana boleh melanggar kakitangan yang sedang bertugas, menurut Says.

Meski dimaklumkan tentang risiko dan aduan yang dibuat pelanggan lain, wanita tersebut terus mempertahankan kelakuan anak-anaknya di Facebook dan sebaliknya bertanya, "Hanya anak saya ke yang buat bising? Tetapi pelanggan lain yang berbual itu tidak bising?"

"Lebih-lebih lagi, ketika itu restoran tidak sibuk. Saya tidak melihat pelayan membawa makanan setiap waktu. Kalau ada pun, saya akan menasihatkan anak saya agar tidak bergerak.

"Ini kali pertama saya jumpa orang yang tidak ada sikap empati," kata wanita itu sambil menambah bahawa keluarganya tinggalkan restoran itu susuli insiden tersebut.

Wanita itu turut menjelaskan bahawa kadangkala anak perempuannya itu tidak boleh dikawal, tetapi dia biasanya mendengar kata.

Beliau mengakhiri hantarannya dengan menyoal sama ada ibu bapa yang beranak pinak tidak boleh menjamu selera di luar rumah.

Catatan itu dikongsikan lebih 3,900 kali.

"Jangan mempergunakan 'sifat mesra kanak-kanak' untuk memberi tekanan kepada kakitangan kedai. Restoran bukan tempat bermain," kata seorang neizen yang menerima paling banyak tanda suka.

"Ibu ini tidak malu langsung untuk mengongsikan insiden ini," luah seorang lagi netizen.

"Saya lega melihat ramai orang mengutuk awak kerana maknanya masih terdapat orang yang boleh membezakan apa yang betul daripada apa yang salah."

"Sebenarnya, kelakuan itu amat berbahaya! Jika anak awak cedera kerana sup panas tertumpah, ia tidak akan beri kesan apa-apa walaupun restoran itu memberi pampasan banyak. Restoran itu cuba mengingatkan awak, tetapi awak menuduh mereka pula."

Susuli kecaman itu, suami isteri tersebut membuat pengumuman akan menjelaskan isu tersebut dan berharap netizen "akan memberinya peluang dan melupakan insiden itu".

Mereka bagaimanapun tidak memohon maaf atas dakwaan bahawa Malaysia tidak mesra kanak-kanak, tetapi berkata akan membesarkan anak-anak mereka sebaik mungkin.
 
Sumber : Sumber Web/NY/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan