Skip to main content

Dunia

Ditangkap berkhalwat, lelaki cuba loloskan diri dengan terjun dari hotel

Seorang lelaki nekad terjun dari tingkat tiga sebuah hotel kelas ekonomi bagi meloloskan diri daripada dicekup pihak berkuasa dalam Ops Banteras Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sempena Hari Pekerja pada Selasa malam (30 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Ditangkap berkhalwat, lelaki cuba loloskan diri dengan terjun dari hotel

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 May 2019 11:04PM Dikemas Kini : 01 May 2019 11:08PM

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki nekad terjun dari tingkat tiga sebuah hotel kelas ekonomi bagi meloloskan diri daripada dicekup pihak berkuasa dalam Ops Banteras Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sempena Hari Pekerja pada Selasa malam (30 Apr).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ Halid Sono berkata lelaki itu disyaki keluar melalui tingkap tandas yang dibukanya sendiri sebelum melarikan diri dan meninggalkan pasangannya di dalam bilik.

Beliau berkata ibu tunggal dan penjawat awam adalah antara lima pasangan kekasih rakyat tempatan berusia antara 18 dengan 43 tahun yang ditahan dalam serbuan berasingan.

Operasi tersebut melibatkan 19 pegawai penguatkuasa dan dilakukan dari 10.00 malam hingga 12.00 tengah malam di lima hotel kelas ekonomi dekat sekitar kawasan Perling serta Danga Bay, Johor Bahru.

Menurut Encik Halid, sesetengah pasangan yang ditahan itu mengakui kononnya mereka pasangan suami isteri. Namun, setelah diperiksa, menukar kenyataan bahawa mereka sudah bertunang pula.

"Kesemua mereka ditahan kerana berada di dalam satu bilik, disyaki melakukan khalwat dan mendatangkan syak bersama pasangan bukan mahram,” katanya kepada pemberita selepas Ops Banteras itu, malam tadi.

Turut menyertai operasi berkenaan ialah Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor Tosrin Jarvanthi.

Encik Halid berkata kesemua mereka ditahan tidak lebih 24 jam dan akan diikat jamin oleh waris.

"Kita juga akan merekodkan keterangan mereka sebelum diserahkan ke bahagian pendakwaan," katanya. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita