Skip to main content

Dunia

Disney hantar surat tuntut ByteDance henti guna watak filem dalam video AI

Disney menghantar surat tuntutan pemberhentian kepada ByteDance, menuduh syarikat China tersebut menggunakan watak-watak Disney tanpa kebenaran untuk melatih dan menggerakkan penjana video AI miliknya, Seedance 2.0. Perkara itu dimaklumkan oleh sumber yang mengetahui tentang isu tersebut kepada Reuters.
Anggaran Waktu Membaca:
Disney hantar surat tuntut ByteDance henti guna watak filem dalam video AI

Skrin menunjukkan logo dan simbol ticker bagi The Walt Disney Company di Bursa Saham New York (NYSE) di New York, Amerika Syarikat pada 21 Mac 2025. (Gambar fail: Reuters/Jeenah Moon)

Diterbitkan : 16 Feb 2026 02:30PM Dikemas Kini : 16 Feb 2026 02:32PM
REUTERS: Disney menghantar surat tuntutan pemberhentian kepada ByteDance, menuduh syarikat China tersebut menggunakan watak-watak Disney tanpa kebenaran untuk melatih dan menggerakkan penjana video AI miliknya, Seedance 2.0. Perkara itu dimaklumkan oleh sumber yang mengetahui tentang isu tersebut kepada Reuters.

Disney menyatakan ByteDance melengkapkan Seedance dengan koleksi watak cetak rompak daripada francais seperti Star Wars dan Marvel. Mereka menggunakan watak-watak itu seolah-olah ia adalah gambar percuma yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa lesen.

Surat itu mendakwa Seedance menghasilkan semula, mengedarkan dan mencipta karya terbitan yang menampilkan watak-watak seperti Spider-Man, Darth Vader dan watak-watak lain, menurut individu itu.

ByteDance akan mengukuhkan langkah keselamatan pada alat video AI Seedance 2.0 untuk mencegah penggunaan tanpa izin watak-watak yang dilindungi hak cipta terpelihara dan mempunyai persamaan dengan selebriti, menurut firma China itu kepada BBC pada Ahad (15 Feb).

ByteDance tidak segera menjawab permohonan Reuters untuk mendapatkan komen.

Wadah berita online Axios merupakan yang pertama untuk melaporkan tentang langkah yang diambil oleh Disney.

Paramount Skydance turut menghantar surat tuntutan pemberhentian kepada ByteDance, sambil menuduh firma China itu melakukan "pelanggaran terang-terangan" harta inteleknya, lapor Variety pada hujung minggu lalu.

Video-video yang dijana oleh Seedance 2.0 yang diterbitkan pada minggu lalu, menjadi tular di China termasuk satu video yang memaparkan Tom Cruise dan Brad Pitt terlibat dalam pergaduhan.

Model AI itu dibandingkan dengan DeepSeek dan dipuji kerana keupayaannya menghasilkan jalan cerita sinematik dengan hanya memerlukan beberapa arahan.

Disney juga mengambil tindakan serupa terhadap Character.AI, sambil menuntut syarikat pemula itu supaya segera henti menggunakan watak-wataknya yang berhak cipta tanpa kebenaran.

Pada Disember, Disney memeterai perjanjian pelesenan dengan OpenAI, bagi membolehkan syarikat pemula itu menggunakan watak-watak dari Star Wars, Pixar dan Marvel dalam alat penjana video Sora.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita