Skip to main content

Dunia

Diskaun hingga 70% untuk saman trafik Malaysia jika bayar awal

Anggaran Waktu Membaca:
Diskaun hingga 70% untuk saman trafik Malaysia jika bayar awal

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 23 Oct 2025 07:28AM Dikemas Kini : 23 Oct 2025 07:29AM
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan menggantikan pemberian diskaun saman berasaskan program atau kempen khas dengan prinsip baharu "The Less You Delay, The Less You Pay" ('Kurang Lewat, Kurang Bayar') bermula 1 Januari 2026.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata langkah itu diperkenalkan selepas kerajaan mendapati kaedah pemberian diskaun sebelum ini tidak adil kepada individu yang bertanggungjawab melunaskan saman lebih awal.

“Jemaah Menteri memutuskan pemberian diskaun saman yang berasaskan program dan kempen ‘The Less You Delay, The Less You Pay’ bermula 1 Januari 2026 kerana kita dapati kalau diskaun diberikan seperti sedia kala, orang cenderung untuk menunggu, ada diskaun baru mereka bayar saman.

"Jadi, bagi mereka yang bayar awal, ia adalah tidak adil,” beliau berkata demikian semasa sidang media selepas sesi pagi Dewan Rakyat, pada Rabu (22 Okt), lapor Astro Awani.

Menurut Encik Loke, pendekatan baharu itu bertujuan memberikan insentif serta keadilan kepada individu yang melunaskan saman dengan segera.

Encik Loke menjelaskan, berdasarkan struktur baharu kadar pengurangan kompaun, bayaran dalam tempoh satu hingga 15 hari akan menerima pengurangan sebanyak 50 peratus, manakala bayaran dalam tempoh 16 hingga 30 hari akan diberikan pengurangan sebanyak 33 peratus, lapor Astro Awani.

Namun, bagi tempoh 31 hingga 60 hari, kadar kompaun akan dikenakan pada tahap maksimum, iaitu RM300 (S$90).

Saman yang tidak dibayar melebihi 61 hari pula akan dikenakan tindakan mahkamah dan pemilik kenderaan akan disenarai hitam.
Beliau turut menjelaskan bahawa kadar insentif ini tidak terpakai bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun seperti tiada insurans, perlumbaan haram dan mempamerkan LKM palsu.

“Kesalahan serius seperti ini perlu dibawa ke mahkamah,” tegasnya, lapor Astro Awani.

Struktur pengurangan kompaun baharu adalah seperti berikut:

1–15 hari: Pengurangan 50 peratus

16–30 hari: Pengurangan 33 peratus

31–60 hari: Kadar kompaun penuh (tiada pengurangan)

61 hari dan ke atas: Tindakan mahkamah / disenarai hitam

TEMPOH PERALIHAN

Encik Loke berkata bahawa semasa tempoh peralihan, orang ramai boleh menyelesaikan saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia ada yang boleh dikompaun pada kadar yang dikurangkan antara 50 hingga 70 peratus dari 1 November hingga 30 Disember 2025.

"Selepas tempoh ini, prinsip 'Kurang Lewat, Kurang Bayar' akan dikuatkuasakan sepenuhnya, dan tiada pengurangan akan ditawarkan untuk saman yang tidak dibayar dalam tempoh 60 hari," katanya, seperti dilapor Malay Mail.
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita