Skip to main content

Dunia

Dipukau lelaki ‘kopiah’, 2 lagi mangsa dedah barang kemas lesap

Dua wanita yang pernah menjadi mangsa pukau dua lelaki di sekitar Kuala Besut, mengesahkan video yang tular baru-baru ini, adalah orang sama memukau mereka sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Dipukau lelaki ‘kopiah’, 2 lagi mangsa dedah barang kemas lesap

Petikan dari video yang dipercayai pukau oleh lelaki yang berkopiah. (Gambar: Facebook)

Diterbitkan : 26 Nov 2017 12:05PM Dikemas Kini : 26 Nov 2017 12:12PM

KUALA BESUT: Dua wanita yang pernah menjadi mangsa pukau dua lelaki di sekitar Kuala Besut, mengesahkan video yang tular baru-baru ini, adalah orang sama memukau mereka sebelum ini.

Video tersebut menunjukkan dua orang lelaki yang dipercayai sedang memukau seorang warga emas.

Dalam tukilan laporan mStar, salah seorang mangsa, Zaidah Dollah, 59, berkata, beliau mengesahkan salah seorang daripada dua lelaki dalam klip video adalah lelaki sama memukaunya pada Jun 2015.

Video tersebut juga dipercayai dirakam oleh orang awam.

"Makcik masih ingat lagi wajah dan susuk tubuh badan lelaki ini yang memakai kopiah sama macam dalam video ini.

"Tapi seorang lagi lelaki ini bukan lelaki sama yang pukau mak cik masa 2015," katanya dalam laporan berkenaan.

Menurutnya, dalam insiden pada sekitar tiga tahun lalu itu, beliau tiba-tiba didatangi dua lelaki yang seakan-akan bertanyakan rumah seseorang yang bernama Ustaz Nazir semasa beliau sedang duduk di kedai makan yang tidak beroperasi.

Cik Zaidah berkata, selepas memberitahu tidak mengenali lelaki tersebut, suspek kemudian menawarkan batu permata kepadanya, di mana ia dipercayai boleh dijadikan pelbagai azimat.

Menurutnya, seperti dipetik mStar, beliau berkeras menolak pemberian itu, namun akhirnya lelaki berkenaan memasukkan juga batu itu ke dalam sampul surat sebelum dihulurkan kepadanya.

“Makcik kemudian balik ke rumah dan belum sedar apa yang berlaku. Makcik sedar barang kemas hilang jam 11.30 pagi selepas buka isi di dalam sampul ini," kata Cik Zaidah.

Beliau juga mendedahkan beliau mendapati isi sampul itu bagaimanapun bukan batu permata, sebaliknya hanya beberapa biji batu kerikil, pasir, potongan kayu kecil dan tisu.

“Selepas itu baru makcik sedar dua gelang tangan dan dua cincin emas makcik bernilai RM22,000 (S$7,200) yang dipakai ketika ke pasar tani tadi sudah tak ada,” katanya.

Beliau juga tidak menyedari bila barang kemas ditanggalkan.

Sehubungan itu, seorang lagi warga emas, Bidoh Ismail, 70, yang menjadi mangsa samun, turut mengesahkan lelaki berkopiah dalam video itu mirip lelaki yang memukau dan menyamun barang kemasnya di Pekan Baru, Kuala Besut pada Mac lalu.

Anaknya, Rohani Ismail, 56, yang ditemui di Kampung Alor Pisang, juga berkata, ibunya yang melihat video itu yakin lelaki berkopiah berkenaan adalah orang sama yang melarikan barang kemas sehingga menyebabkan ibunya kerugian sekitar RM17,000 (S$5,560). 

Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita