Diplomat Iran rancang pengeboman Paris dipenjara 20 tahun
Mahkamah Belgium pada Khamis (4 Feb) menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas seorang diplomat Iran kerana merancang serangan pengeboman yang dipatahkan di perhimpunan pembangkang di luar Paris pada 2018.
(Gambar: AFP)
ANTWERP: Mahkamah Belgium pada Khamis (4 Feb) menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas seorang diplomat Iran kerana merancang serangan pengeboman yang dipatahkan di perhimpunan pembangkang di luar Paris pada 2018.
Assadollah Assadi, 49, menyertai misi Iran di Austria apabila dia membekalkan bahan letupan untuk serangan yang dirancang itu.
Selepas serangan itu digagalkan, dia diberkas di Jerman pada Julai 2018, di mana dia dianggap tidak boleh menuntut kekebalan diplomatik.
Tiga rakannya, yang memiliki dua kewarganegaraan Iran-Belgium, dijatuhi hukuman penjara masing-masing 15 dan 18 tahun dan dilucutkan kewarganegaraan Belgium.
Perhimpunan pada 30 Jun 2018 di Villepinte, berdekatan Paris, termasuk para pemimpin kanan Majlis Penentangan Nasional di Iran (NCRI) yang disingkirkan dan beberapa penyokong berprofil tinggi, antaranya peguam bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Rudy Giuliani.
Kes itu mendedahkan operasi antarabangsa Tehran ketika ia mengharapkan Presiden Amerika Syarikat yang baru, Joe Biden akan melonggarkan sekatan.
Assadi dibicarakan di bandar pelabuhan Antwerp di Belgium bersama tiga tertuduh lain yang juga ditangkap selepas polis menggagalkan rancangan itu.
Diplomat itu didakwa atas "percubaan pembunuhan yang bersifat pengganas" dan "terbabit dalam kegiatan sebuah kumpulan pengganas".
Pasangan Belgium-Iran, Nasimeh Naami, 36, dan Amir Saadouni, 40, menerima setengah kilogram bahan letupan TATP dan peledak daripada Assadi.
Naami dan Saadouni masing-masing dijatuhi hukuman penjara 18 dan 15 tahun.
Pegawai polis Belgium menghentikan kereta pasangan itu dengan bom di dalam kenderaan itu pada hari kejadian, sekali gus mencegah pertumpahan darah.
Pada lewat tahun itu, pemerintah Perancis mendakwa pasukan risikan Iran merupakan dalang operasi itu, namun tuduhan berkenaan dinafikan Iran.
Kejadian itu menimbulkan ketegangan antara kuasa Eropah dengan Tehran, dan penyokong NCRI mengambil kesempatan untuk mendesak rejim Iran berkenaan kes mereka.
NCRI adalah sayap politik Mujahedeen-e-Khalq (MEK), yang dikenali sebagai Pertubuhan Mujahidin Rakyat Iran (PMOI).
MEK menyokong Ayatollah Ruhollah Khomeini dalam revolusi 1979 yang menggulingkan Shah Mohammad Reza Pahlavi, namun bertelagah dengan pihak berkuasa baru.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.