Skip to main content

Dunia

Diplomasi Prabowo dengan banyak lawatan luar negara dipersoal, tarik perhatian

Lawatan terkini dan yang keempat Presiden Indonesia Prabowo Subianto ke Perancis pada hujung Mei mencetuskan semula perdebatan awam terhadap perjalanannya ke luar negara, khususnya lawatan berulang ke negara yang sama dalam tempoh kurang dua tahun sejak beliau memegang jawatan presiden.

Anggaran Waktu Membaca:
Diplomasi Prabowo dengan banyak lawatan luar negara dipersoal, tarik perhatian

Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Presiden Perancis Emmanuel Macron semasa sidang media bersama di Istana Élysée di Paris, Perancis pada 28 Mei 2026. (Gambar: Facebook/Prabowo Subianto)

Diterbitkan : 05 Jun 2026 10:43AM
SINGAPURA/JAKARTA: Lawatan terkini dan yang keempat Presiden Indonesia Prabowo Subianto ke Perancis pada hujung Mei mencetuskan semula perdebatan awam terhadap perjalanannya ke luar negara, khususnya lawatan berulang ke negara yang sama dalam tempoh kurang dua tahun sejak beliau memegang jawatan presiden.

Sebagai contoh, Malaysia merupakan destinasi yang paling kerap dikunjunginya dengan lima lawatan, diikuti Perancis dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dengan empat lawatan setiap satu. Amerika Syarikat, Britain, Mesir dan Rusia masing-masing telah menghoskan Encik Prabowo sebanyak tiga kali.

Perdebatan juga timbul semula berhubung salah satu ciri utama pentadbirannya setakat ini: kempen diplomasi luar negara yang intensif sedang pentadbirannya memperjuangkan kecekapan perbelanjaan di dalam negara.

Sekretariat Presiden yang dipetik media tempatan melaporkan bahawa Encik Prabowo dan delegasinya menginap di Hotel Four Seasons George V, sebuah hotel mewah berhampiran Menara Eiffel.

Media Indonesia Tempo melaporkan bahawa pihak Istana menempah 27 bilik untuk tiga malam, termasuk sebuah suite presiden dan sebuah suite grand premier, dengan anggaran kos sebanyak €281,640 (S$419,704.50).

Bagi Bhima Yudhistira, pengarah eksekutif Center of Economic and Law Studies (CELIOS), perangkaan tersebut meningkatkan lagi kebimbangan yang lebih meluas terhadap nilai pelibatan presiden di luar negara.

"Perjalanan Prabowo tidak diperlukan. Ia terlalu mewah. Lihat sahaja bil hotel, 5.7 bilion rupiah (S$405586.00) untuk delegasi, sedangkan hasilnya masih boleh dipersoalkan," kata beliau dalam satu temu bual dengan Mediacorp.

Mantan Duta Indonesia ke Amerika Syarikat, Dino Patti Djalal, adalah antara individu yang secara terbuka mempersoalkan bentuk diplomasi yang menyaksikan Encik Prabowo kerap melakukan lawatan ke luar negara.

Menurut Encik Dino, Encik Prabowo menghabiskan kira-kira satu daripada setiap enam hari di luar negara sejak memegang jawatan tersebut. Isunya, hujah beliau, bukan sekadar kekerapan perjalanan, tetapi sama ada Indonesia terlalu bergantung kepada model diplomasi yang tertumpu kepada pertemuan secara bertemu muka.

Kritikan Encik Dino disangkal oleh Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya, yang menegaskan bahawa diplomasi secara langsung tetap penting dalam dunia yang semakin tidak menentu.

"Kita perlu memupuk hubungan yang baik," kata Encik Teddy dalam satu video Instagram yang dimuat naik oleh Sekretariat Kabinet.

Membina kepercayaan sesama pemimpin sebelum sesuatu krisis berlaku bukanlah satu kemewahan, hujah beliau, sebaliknya satu keperluan strategik. Beliau menambah bahawa hubungan yang dibina hari ini mungkin menjadi penting apabila negara memerlukan sokongan, kerjasama atau bantuan pada masa hadapan.

Persoalannya ialah sama ada diplomasi yang banyak bergantung kepada perjalanan luar negara oleh Encik Prabowo merupakan pelaburan strategik bagi masa depan Indonesia atau pendekatan dasar luar yang mahal dengan manfaat yang sukar diukur, menurut para pakar.

Sesetengah penganalisis berhujah bahawa lawatan-lawatan tersebut harus dilihat sebagai pelaburan diplomatik jangka panjang dan bukan dinilai semata-mata berdasarkan kos.

MENGAPA PRABOWO BEGITU KERAP MELAKUKAN LAWATAN KE LUAR NEGARA?

Penelitian terhadap lawatan-lawatan yang dilakukan Encik Prabowo semakin meningkat sedang beliau melaksanakan usaha besar-besaran untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan di dalam negara.

Encik Prabowo berkata langkah mengurangkan perbelanjaan pemerintah telah menghasilkan penjimatan melebihi 300 trilion rupiah (S$21.345 bilion), yang disalurkan semula kepada program-program utama seperti penyediaan makanan bergizi gratis, naik taraf sekolah dan projek infrastruktur. Beliau juga berulang kali mengkritik apa yang dianggapnya sebagai pembaziran oleh institusi-institusi negara.

"Kurangkan seminar, terutamanya perjalanan rasmi. Kajian perbandingan? Apa lagi yang ada untuk dikaji?" kata Encik Prabowo semasa satu acara politik pada November 2024.

Namun, jadual lawatan beliau ke luar negara kekal padat.

Kurang sebulan selepas memegang jawatan, Encik Prabowo memulakan lawatan diplomatik selama 16 hari yang merangkumi China, Amerika Syarikat, Peru, Brazil, Britain dan UAE.

Sejak itu, beliau menghadiri pelbagai sidang puncak antarabangsa, mesyuarat dua hala dan acara kenegaraan yang merangkumi Asia Tenggara, Eropah, Timur Tengah, Amerika Utara dan Amerika Latin.

Rekod perjalanan yang tersedia kepada umum menunjukkan bahawa Encik Prabowo sudah melakukan 54 lawatan ke luar negara melibatkan 29 negara sejak memegang jawatan.

Sebagai perbandingan, pendahulunya Joko "Jokowi" Widodo melakukan 16 lawatan negara manakala mantan presiden Susilo Bambang Yudhoyono melakukan 10 lawatan ke luar negara dalam tahun penuh pertama mereka memegang jawatan.

Mantan Duta Dino berpendapat diplomasi maya perlu memainkan peranan yang lebih besar, khususnya bagi mesyuarat yang tidak memerlukan penyertaan langsung presiden.

Indonesia juga boleh memanfaatkan dengan lebih meluas pertemuan dua hala di luar acara-acara antarabangsa utama serta membenarkan kementerian luar mengendalikan lebih banyak misi diplomatik yang bersifat taktikal, kata beliau.

Pemerintah bagaimanapun menolak sebahagian besar kritikan tersebut.

Setiausaha Kabinet Teddy berkata saiz delegasi presiden telah dikurangkan dengan ketara berbanding pentadbiran terdahulu.

Lawatan luar negara pada masa lalu boleh melibatkan lebih 120 orang, delegasi Encik Prabowo kini lazimnya terdiri daripada sekitar 50 hingga 60 anggota.

Beliau juga menolak tuduhan bahawa pelibatan presiden di luar negara sebahagian besarnya bersifat istiadat semata-mata.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita