Skip to main content

Dunia

Dinasti politik Shinawatra berdepan 3 kes mahkamah; berpotensi ubah hala tuju politik Thai

Keluarga hartawan Shinawatra di Thailand sedang bersiap sedia menghadapi siri keputusan mahkamah berprofil tinggi bermula Jumaat (22 Ogos), yang boleh menguji daya tahan politiknya, serta berkemungkinan mencetuskan pilihan raya awal, di tengah-tengah ekonomi negara yang terus bergelut.

Anggaran Waktu Membaca:
Dinasti politik Shinawatra berdepan 3 kes mahkamah; berpotensi ubah hala tuju politik Thai

Encik Thaksin Shinawatra dan anak perempuannya, Cik Paetongtarn, tiba di Lapangan Terbang Don Muang di Bangkok, Thailand, pada 22 Ogos 2023. (Gambar fail: AP/Sakchai Lalit)

BANGKOK: Keluarga hartawan Shinawatra di Thailand sedang bersiap sedia menghadapi siri keputusan mahkamah berprofil tinggi bermula Jumaat (22 Ogos), yang boleh menguji daya tahan politiknya, serta berkemungkinan mencetuskan pilihan raya awal, di tengah-tengah ekonomi negara yang terus bergelut.

Sepanjang dua dekad lalu, dinasti politik Shinawatra menjadi tumpuan dek pergolakan dari semasa ke semasa, dan kemelut terkininya bakal memuncak dengan keputusan yang boleh menggulingkan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra kerana didakwa melakukan pelanggaran etika, selain menyebabkan bapanya, Thaksin Shinawatra, dimasukkan semula ke penjara.

Mahkamah pada Jumaat akan memutuskan sama ada Encik Thaksin, dalam satu wawancara media pada 2015, menghina institusi beraja yang berkuasa.

Tindakan tersebut merupakan jenayah berat di Thailand yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Satu lagi mahkamah akan membuat keputusan 18 hari kemudian tentang sama ada penahanan ahli perniagaan itu pada 2023 di wad hospital VIP, dan bukannya penjara, bermakna hukuman penjara atas kesalahan salah guna kuasa dan konflik kepentingan tidak dijalankan dengan sepenuhnya.

Kedua-dua ahli keluarga Shinawatra itu menafikan sebarang salah laku.

Keputusan yang tidak memihak kepada Cik Paetongtarn, 39 tahun, dan Encik Thaksin, 76 tahun, boleh mengurangkan pengaruh keluarga itu dan membawa kepada pilihan raya lebih awal daripada yang dijadualkan.

Parti Pheu Thai, yang suatu ketika dahulu digeruni, kini juga tidak berada pada kedudukan terbaik untuk bertanding.

“Pilihan raya baharu pasti akan diadakan selewat-lewatnya menjelang pertengahan 2026, atau mungkin lebih awal,” kata Profesor Undang-undang Universiti Thammasat, Prinya Thaewanarumitkul.

“Kemungkinan Pheu Thai meraih semula undi popular dalam pilihan raya akan datang adalah sangat tipis.”

Jurucakap kerajaan pimpinan Pheu Thai enggan mengulas berhubung keputusan mahkamah yang akan datang.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita