Skip to main content

Dunia

Diminta berehat, Ratu Elizabeth tidak akan hadiri COP26 di Glasgow

Ratu Elizabeth II tidak akan menghadiri Sidang Perubahan Iklim COP26 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Glasgow minggu depan atas saranan doktornya untuk berehat, menurut pejabat Istana Buckingham pada Selasa (26 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

LONDON: Ratu Elizabeth II tidak akan menghadiri Sidang Perubahan Iklim COP26 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Glasgow minggu depan atas saranan doktornya untuk berehat, menurut pejabat Istana Buckingham pada Selasa (26 Okt).

Ratu Elizabeth II yang berusia 95 tahun itu menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital Rabu lalu setelah membatalkan kunjungan ke Ireland Utara.

"Berikutan saranan (doktor) untuk berehat, Ratu Elizabeth memutuskan untuk tidak ke Glasgow untuk menghadiri upacara COP26 pada 1 November," ujar Istana Buckhingham dalam satu kenyataan.

"Beliau amat kecewa kerana tidak dapat hadir namun akan menyampaikan ucapan kepada anggota rombongan melalui rakaman video," tambah kenyataan itu.

Ratu Elizabeth II
kembali bertugas sehari selepas bermalam di hospital minggu lalu dengan menjalankan kerja-kerja ringan.

Semalam, ketua United Kingdom itu bertemu duta besar melalui persidangan video dari Istana Windsor.

Ratu Elizabeth II, dikenali kerana selalu tampil dalam keadaan sihat dan masih menjalankan banyak tugas awam. Beliau dilihat menggunakan tongkat untuk pertama kalinya di sebuah acara awam pada bulan ini.

Ketidakhadiran Ratu Elizabeth II di sidang iklim COP26 mungkin akan menimbulkan kekhuatiran tentang kesihatannya. Beliau sebelum ini menyatakan rasa kesalnya dengan pemimpin dunia yang hanya bercakap tentang perubahan iklim, tetapi tidak melakukan apa pun untuk mengatasinya.

Britain telah menetapkan sidang iklim COP26 sebagai peluang besar untuk memperlambatkan kenaikan suhu bumi dan berharap dapat kesepakatan pemimpin dunia untuk menyokong sasaran iklim yang lebih tegas.

Sumber : AFP/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita