Dilema Indonesia: Prabowo terhimpit antara tekanan domestik dengan usaha kekalkan hubungan dengan Amerika
Apabila Presiden Indonesia Prabowo Subianto menerima undangan Amerika Syarikat untuk menyertai Lembaga Keamanan pada 22 Januari, beliau menggambarkannya sebagai langkah strategik untuk mencapai keamanan dunia yang berkekalan serta meningkatkan kedudukan global Indonesia sebagai kuasa sederhana.
JAKARTA: Apabila Presiden Indonesia Prabowo Subianto menerima undangan Amerika Syarikat untuk menyertai Lembaga Keamanan pada 22 Januari, beliau menggambarkannya sebagai langkah strategik untuk mencapai keamanan dunia yang berkekalan serta meningkatkan kedudukan global Indonesia sebagai kuasa sederhana.
Namun, keraguan awam terhadap penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan semakin meningkat menyusuli perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran serta kematian tiga anggota pengaman Indonesia di Lubnan bulan lalu.
Lembaga itu pada asalnya ditubuhkan untuk menyelia pembinaan semula Gaza.
Dengan ahli politik, termasuk tokoh daripada gabungan Prabowo sendiri, kini menggesa penilaian semula keanggotaan Indonesia, para pemerhati berkata presiden itu berisiko terperangkap antara tekanan domestik dan usaha mengekalkan hubungan dengan Amerika Syarikat.
“Lembaga Keamanan telah menjadi Lembaga Masalah,” kata Teuku Rezasyah, pensyarah hubungan antarabangsa di Universiti President, Indonesia.
SENTIMEN AWAM TERKINI
Lebih separuh responden dalam satu tinjauan yang dijalankan bulan lalu tidak bersetuju dengan keputusan Indonesia untuk menyertai Lembaga Keamanan.
Dijalankan oleh tiga syarikat penyelidikan Indonesia, tinjauan itu mendapati 50.9 peratus daripada lebih 1,000 responden tidak bersetuju dengan keputusan tersebut, yang merupakan inisiatif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Hanya 33.8 peratus menyatakan sokongan mereka manakala selebihnya berkecuali, menurut dapatan yang dikeluarkan pada 2 April oleh Indikator Politik Indonesia, Lembaga Survei Indonesia (LSI) dan Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC).
Keputusan itu menunjukkan sedikit penurunan sokongan terhadap penyertaan dalam Lembaga Keamanan.
Sebelum perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran, satu lagi kajian oleh Media Survei Nasional (Median) Indonesia antara 10 hingga 14 Februari mendapati 50.4 peratus daripada 1,200 responden tidak bersetuju, manakala 34.8 peratus menyokong penyertaan itu.
Tinjauan terbaharu dijalankan antara 12 hingga 31 Mac, bermakna sebahagian respons diberikan sebelum anggota pengaman Indonesia terbunuh pada 29 dan 30 Mac.
Pakar berkata sokongan mungkin lebih rendah jika kajian dibuat selepas kejadian tersebut.
Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati peluru dari kereta kebal Israel menyebabkan kematian seorang anggota pengaman pada 29 Mac.
Dua lagi terbunuh pada 30 Mac akibat bahan letupan buatan sendiri, yang kemungkinan besar dipasang oleh Hezbollah, menurut PBB.
Kematian ini - yang pertama dalam kalangan pasukan pengaman PBB dalam perang baharu antara Israel dan Hezbollah yang tercetus pada 2 Mac - turut meluaskan kritikan terhadap penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan, yang sebelum ini tertumpu kepada kumpulan Islam anti-Israel dan penganalisis yang curiga terhadap niat Amerika Syarikat.
“Manfaat dan keupayaan diplomatik Indonesia dalam Lembaga Keamanan tidak jelas, maka tidak menghairankan terdapat penentangan awam,” kata pakar hubungan antarabangsa Agung Nurwijoyo dari Universiti Indonesia kepada Mediacorp.
PENENTANGAN POLITIK MENINGKAT
Beberapa parti politik, termasuk dalam gabungan Prabowo, menggesa penilaian semula pelibatan Indonesia dalam Lembaga Keamanan.
“Serangan Israel terhadap seorang tentera Indonesia jelas menunjukkan pengabaian terhadap konsep ‘keamanan’ yang menjadi teras Lembaga Keamanan,” kata Ahmad Doli Kurnia dari Parti Golkar pada 1 April.
“Kami menggesa pemerintah menilai semula kehadiran Indonesia dalam Lembaga Keamanan.”
Golkar merupakan parti terbesar dalam gabungan Prabowo.
Parti Keadilan Sejahtera (PKS) turut mengeluarkan gesaan serupa pada 30 Mac.
“PKS percaya perlu ada penilaian serius terhadap kedudukan Indonesia dalam forum keamanan antarabangsa, termasuk kemungkinan menyemak pelibatan dalam Lembaga Keamanan jika ia tidak lagi berkesan,” menurut kenyataan parti itu.
Ahli politik daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), yang bukan sebahagian daripada gabungan, mengambil pendirian lebih tegas dan menggesa pengunduran penuh.
“Pemerintah perlu segera mengambil langkah untuk menarik diri. Ini penting untuk mengekalkan prinsip dasar luar ‘bebas dan aktif’,” kata Tubagus Hasanuddin kepada Kompas pada 3 Mac.
Encik Hasanuddin merupakan ahli suruhanjaya parlimen Indonesia yang mengawasi pertahanan dan ehwal luar.
Pada 3 Mac, Menteri Luar Indonesia Sugiono berkata semua perbincangan Lembaga Keamanan ditangguhkan kerana perhatian kini tertumpu kepada situasi di Iran.
Dalam perbincangan bersama wartawan dan pakar bulan lalu, Encik Prabowo membayangkan kemungkinan Indonesia meninggalkan Lembaga Keamanan jika ia terbukti tidak membawa hasil.
“Jika kami simpulkan tiada harapan dan ia merugikan, membuang masa dan tenaga serta tidak memenuhi kepentingan nasional, kami akan menarik diri,” katanya.
PRABOWO BERDEPAN PILIHAN “SUKAR”
Dengan tahap penentangan awam dan politik yang tinggi, beberapa penganalisis percaya pendirian Encik Prabowo kini kurang tegas sejak konflik Amerika-Iran bermula.
“Prabowo memahami bahawa badan ciptaan Trump ini telah menjadi toksik dari segi politik domestik,” kata zamil pelawat Made Supriatma dari Institut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura.
Walaupun sebilangan pemerhati berpendapat Indonesia patut keluar, mereka yang lain memberi amaran bahawa langkah itu boleh menjejas hubungan dengan ekonomi terbesar dunia.
“Tiada negara lain keluar dari Lembaga Keamanan. Prabowo tidak mahu menjadi yang pertama menentang Trump,” kata Encik Made.
Penganalisis juga menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan tekanan ekonomi dari Washington.
Pentadbiran Encik Trump sebelum ini mengenakan tarif besar terhadap banyak negara, termasuk Indonesia (19 peratus), sebelum Mahkamah Agung Amerika Syarikat memutuskan dasar itu tidak sah pada Februari.
Encik Trump kemudian memperkenalkan cukai import global baharu 10 peratus sebagai langkah sementara hingga Julai 2026.
Pentadbiran itu juga melancarkan siasatan terhadap 16 negara termasuk Indonesia atas dakwaan amalan perdagangan tidak adil.
Dengan ancaman tarif lebih besar, “keputusan untuk keluar dari Lembaga Keamanan amat sukar bagi Prabowo,” kata Encik Made.
Sentimen awam juga boleh merosot jika perang itu berlarutan, terutama sekali jika ia memaksa Indonesia menaikkan harga bahan api bersubsidi.
Kenaikan terakhir pada 2022 menyebabkan harga makanan meningkat dan mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran.
Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa berkata pada 6 April bahawa pemerintah tidak akan menaikkan harga bahan api bersubsidi sekurang-kurangnya hingga hujung tahun.
“Subsidi terjamin - tidak perlu bimbang,” katanya.
Namun, beberapa ahli ekonomi mempersoalkan keupayaan fiskal Indonesia jika harga tenaga global terus meningkat.
MENCARI JALAN TENGAH
Di antara kekal atau keluar dari Lembaga Keamanan, penganalisis melihat kemungkinan jalan tengah.
Encik Rezasyah berkata Encik Prabowo boleh menunjukkan kepada Washington bahawa keputusan dibuat secara teliti melalui rundingan dengan negara lain.
Dengan berunding bersama ahli lain, keputusan Indonesia tidak akan dilihat sebagai tindakan sepihak.
Indonesia juga boleh mengurangkan komitmen, seperti menangguhkan penghantaran pasukan pengaman ke Gaza atau menurunkan status kepada pemerhati.
“Penolakan awam bukan sekadar isu teknikal, tetapi mencerminkan sensitiviti rakyat terhadap keadilan global,” kata Agung.
Indonesia juga boleh mengukuhkan hubungan strategik dengan Amerika Syarikat dalam bidang lain untuk menunjukkan bahawa Washington masih rakan penting.
Pilihan lain ialah menyerahkan keputusan kepada parlimen Indonesia.
Di bawah Perlembagaan, semua perjanjian antarabangsa mesti diluluskan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), termasuk piagam Lembaga Keamanan yang ditandatangani pada 22 Januari di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.
Dengan semakin ramai ahli politik menggesa penilaian semula, perjanjian BoP mungkin berdepan halangan dalam proses pemeteraian.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Parlimen yang menyelia pertahanan dan keselamatan daripada Golkar, Dave Laksono, berkata penggubal undang-undang akan memulakan proses pemeteraian dan memastikan semua pandangan dipertimbangkan.
Proses itu masih di peringkat perbincangan antara pemerintah dan DPR, dengan tumpuan kepada penelitian terhadap kandungan serta menjalankan analisis menyeluruh terhadap implikasi politik, undang-undang dan keselamatan negara,” kata Encik Dave Laksono pada 6 April, seperti dipetik oleh Kompas.
Encik Dave Laksono berkata beliau menghormati gesaan orang ramai yang mendesak Indonesia untuk menarik diri daripada Lembaga Keamanan, namun terdapat banyak perkara yang perlu dipertimbangkan oleh parlimen.
“Keputusan akhir mesti berdasarkan kepentingan strategik negara, komitmen terhadap keamanan global dan penyelarasan dengan rakan antarabangsa,” katanya.
*Rencana bertajuk “Indonesia’s Board of Peace dilemma: Prabowo caught between domestic backlash and US ties” ini diterbitkan CNA pada 14 April 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.