Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Dibom kiri dan kanan': Warga Asia Tenggara yang ingin tinggalkan perang Israel-Hamas, berdepan perjalanan mencabar

Anggaran Waktu Membaca:
'Dibom kiri dan kanan': Warga Asia Tenggara yang ingin tinggalkan perang Israel-Hamas, berdepan perjalanan mencabar

Encik Abdillah Onim (kiri), bersama anak-anaknya, merancang untuk melarikan diri ke Mesir di tengah-tengah konflik yang kian meruncing di Gaza. (Gambar: Abdillah Onim)

SINGAPURA: Di tengah-tengah serangan udara Israel ke atas Gaza, pekerja bantuan Indonesia Abdillah Onim terus hidup dalam ketakutan di rumahnya yang terletak dekat lokasi serangan.

"Rumah penduduk Gaza dibom dan runtuh menyembah bumi. Apa yang anda lihat di media sedang betul-betul berlaku," ujar Encik Onim, 44 tahun kepada Mediacorp. Sedang beliau bercakap, kedengaran bunyi letupan dan jet pejuang.

Encik Onim yang mendirikan rumah tangga bersama seorang penduduk Gaza mempunyai tiga cahaya mata. Beliau telah tinggal di Gaza sejak 2009. Berikutan konflik baru-baru ini, beliau terpaksa mempertimbangkan untuk pulang ke Indonesia, meskipun perjalanan ke tanah airnya dijangka sukar.

Dalam satu webinar yang dianjurkan Universiti Islam Indonesia pada Selasa (10 Okt), beliau berkata akan cuba lari ke Mesir "dalam masa terdekat" bersama anak-anaknya serta isteri.

Beliau bagaimanapun akur rancangannya itu "mungkin satu harapan kosong".

"Meskipun ia dirancang dengan baik, jika anda tidak dapat meninggalkan rumah anda, anda tidak boleh pergi ... Jika tidak ada pengangkutan ke sempadan, ia tidak boleh dilakukan. Ambulans menjadi sasaran manakala kenderaan biasa diserang dengan peluru berpandu.

"Saya hanya menantikan jika Palang Merah Antarabangsa boleh mengambil saya di depan rumah dengan rumah saya dibom kiri dan kanan," luah Encik Onim.

Encik Onim merupakan salah seorang daripada warga asing di Israel dan Wilayah Palestin, yang benar-benar mempertimbangkan untuk meninggalkan wilayah yang dilanda perang itu. Namun, kepungan ke atas Gaza yang dikuatkuasakan Israel pada Isnin, menyukarkan lagi keadaan bagi mereka yang ingin meninggalkan kawasan tersebut.

Menyusuli serangan mengejut oleh kumpulan militan Hamas pada Sabtu, pemerintah di Asia Tenggara telah mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat mereka di Israel dan Wilayah Palestin.

Kementerian Ehwal Luarn (MFA) misalnya pada Selasa menasihatkan rakyat Singapura supaya meninggalkan Israel dan Wilayah Palestin "secepat mungkin menerusi pilihan komersil yang ada".
Thailand dan Filipina, yang mempunyai jumlah besar rakyatnya yang bekerja di Israel, menyatakan mereka sedang berusaha untuk membawa keluar mereka yang ingin pulang.

Pertubuhan bantuan Malaysia Mercy Malaysia memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya tidak akan memasuki Gaza disebabkan keadaan yang "mencabar" di sana.

Malaysia belum lagi mengeluarkan sebarang statistik mengenai jumlah warganya yang berada di Israel atau Wilayah Palestin.

Seorang pakar keselamatan yang dihubungi Mediacorp juga menarik perhatian kesukaran dalam menyelaraskan usaha membawa pulang warga asing, terutama sekali bagi negara-negara yang tidak mempunyai hubungan rasmi dengan pemerintah Israel.

THAILAND

Lebih 3,000 rakyat Thailand di Israel menyuarakan keinginan untuk pulang ke tanah air, dedah Timbalan Menteri Luar Thailand Jakkapong Sangmanee pada Selasa.

Terdapat sekitar 30,00 pekerja Thailand di Israel, dengan kira-kira 5,000 daripadanya berada di kawasan konflik.

Encik Jakkapong dilaporkan Bangkok Post, sebagai berkata bahawa kumpulan pertama dijangka tiba pada Khamis.
Gambar: AFP/Mahmud Hams
INDONESIA

Ada 45 rakyat Indonesia di Wilayah Palestin sekarang ini.

Menurut Pengarah Perlindungan Rakyat Indonesia di Kementerian Luar, Judha Nugraha, terdapat 10 warga Indonesia di Gaza dan 35 di Tebing Barat.

230 warga Indonesia pula berada di Israel mengikut wisata agama, katanya.

Pada Selasa, jurucakap Kementerian Luar, Lalu Muhammad Iqbal berkata pemerintah negara itu sudah menyiapkan pelan kecemasan untuk membawa pulang rakyatnya "dengan beberapa senario" yang dirancang, menurut media tempatan.

Beliau tidak memperincikan pelan tersebut tetapi menarik perhatian bahawa kedutaan Indonesia di Amman, Beirut dan Kaherah sedang berunding dengan beberapa pihak untuk membawa keluar rakyatnya yang masih berada di Wilayah Palestin, terutama di Gaza.
Tiga anak Encik Abdillah Onim. (Gambar: Abdillah Onim)
FILIPINA

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Pejabat Perhubungan Presiden Filipina berkata rakyat negara itu yang tinggal di Israel tidak meminta dibawa keluar segera.

"Bagaimanapun, pihak Kedutaan mempunyai pelan unutk membawa mereka pulang dan bersedia untuk melaksanakannya, jika perlu, ujarnya.

Menurut Philippine Daily Inquirer, sekurang-kurangnya 38 rakyat Filipina yang berada di Carikan Gaza telah menyuarakan hasrat untuk dibawa pulang.

Terdapat lebih 30,000 rakyat Filipina di Israel setakat Disember 2021, memetik rekod Penguasa Penduduk dan Imigresen Israel.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan