Dibayangi konflik, masyarakat Rohingya gusar kembalinya pemimpin tentera Myanmar
Meskipun junta tentera Myanmar memberi isyarat pemerintahannya kali ini akan berbeza, penduduk Rakhine masih tetap sangsi dan dihantui keganasan masa silam.
Gambar fail pada 25 Apr 2018 menunjukkan pelarian Rohingya di kem sementara di sempadan Myanmar dengan Bangladesh. (Gambar: AFP/Ye Aung Thu)
YANGON: Masyarakat Rohingya Myanmar tanpa kerakyatan dan dihantui konflik, kini gusar dengan kembalinya pemerintahan tentera, kerana bimbang keganasan akan berlaku lagi di kawasan bergolak di negara itu di mana terdapat sebahagian penduduk yang menunjukkan sokongan terhadap rejim baru itu.
Sebilangan besar minoriti Muslim yang sudah lama ditindas itu menghabiskan masa bertahun-tahun di kem pelarian yang sempit, tanpa kebebasan bergerak atau kemudahan penjagaan kesihatan. Malah mereka tinggal dalam apa yang disifatkan oleh kumpulan-kumpulan hak asasi sebagai keadaan "aparteid".
Mereka masih dibayangi tindakan keras tentera pada 2017 yang memusnahkan kampung-kampung dan menyebabkan sekitar 750,000 orang Rohingya melarikan diri ke seberang sempadan Bangladesh dengan melaporkan kejadian-kejadian rogol dan pembunuhan sewenang-wenangnya.
"Di bawah pemerintah demokratik, harapan untuk kami pulang ke rumah lama tipis," kata seorang wanita berusia 27 tahun yang meminta namanya tidak didedahkan, dari sebuah kem berhampiran bandar Sittwe.
"Tetapi sekarang sudah pasti kami tidak akan dapat kembali."
RISIKO KEGANASAN BARU DI RAKHINE
Myanmar dan para pemimpin tenteranya sedang dibicarakan di mahkamah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas tuduhan melakukan penghapusan kaum dalam keganasan 2017 di wilayah utara Rakhine, tempat tinggal bagi majoriti kaum Rohingya di negara itu sebelum mereka melarikan diri beramai-ramai.
Panglima tentera Min Aung Hlaing, yang kini memimpin junta baru negara itu, berulang kali menegaskan tindakan keras itu perlu untuk menghapuskan pemberontak di wilayah Rakhine, utara Myanmar.
"Ada risiko nyata bahawa (rejim ini) mungkin mencetuskan keganasan baru di Rakhine," kata Tun Khin, presiden kumpulan lobi, Pertubuhan Rohingya Burma UK.
Tidak lama setelah merampas kuasa, junta itu berjanji untuk mematuhi rancangan untuk menerima kembali pelarian dari Bangladesh - satu skim yang tergantung selama bertahun-tahun.
Namun "tiada yang percaya sepatah kata mereka," kata Encik Tun Khin.
"KALI INI AKAN BERBEZA"
Wilayah Rakhine, tempat tinggal kedua-dua masyarakat Rohingya dan majoriti kaum etnik Buddha Rakhine, telah menjadi medan konflik selama beberapa dekad.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini tentera telah bertempur dengan Tentera Arakan, yang memperjuangkan lebih autonomi bagi penduduk etnik Rakhine.
Namun beberapa hari selepas rampasan kuasa, junta mengakhiri sekatan internet selama 19 bulan di situ dan menegaskan komitmen terhadap gencatan senjata dengan kumpulan militan itu.
Rejim itu juga mengumumkan seorang anggota parti nasionalis Rakhine tempatan akan menyertai kabinetnya.
Junta turut membebaskan dari penjara seorang bekas pemimpin parti Aye Maung - dipenjarakan oleh pemerintah Aung San Suu Kyi pada 2019 atas ucapan yang disampaikan olehnya di Rakhine sehari sebelum rusuhan membawa maut - sebagai sebahagian daripada pengampunan beramai-ramai.
Sebilangan orang di wilayah itu yakin bahawa bergabung dengan rejim tentera akan memberi mereka peluang lebih baik untuk mendapatkan autonomi lebih luas daripada kawasan lain di negara itu.
"Kali ini pentadbiran tentera akan berbeza," kata penduduk Minbya, Myo Kyaw Aung, sambil menambah bahawa kekuatan Parti Nasional Arakan (ANP) dan Tentera Arakan memberi kaum etnik Rakhine kelebihan di meja rundingan.
Namun masih ada yang berkongsi rasa sangsi seperti dirasakan masyarakat Rohingya apabila memikirkan kembalinya pemerintahan tentera, walaupun percubaan pemerintahan demokratik dan kehidupan di bawah kepimpinan Cik Aung San selama sedekad di negara itu tidak banyak menunjukkan perubahan.
Tun Maung, yang tinggal di kawasan tengah Rakhine, masih teringat ketika beliau terpaksa bersembunyi di dalam perigi untuk elak daripada ditembak semasa pemerintahan junta Myanmar sebelum ini.
"Saya pernah hidup di bawah kepimpinan diktator tentera dan pemerintah awam ... Saya tahu perbezaannya," kata warga 60 tahun itu yang meminta untuk menggunakan nama samaran.
"Kami tidak boleh terima hidup di bawah pemerintahan tentera lagi."
"Saya sangat benci mereka," kata beliau kepada AFP. "Saya lebih rela pilih seseorang yang memukul saya dua kali, daripada seseorang yang pukul saya lima kali."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.