Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dialog inklusif anak kunci huraian damai di Myanmar, kata Menteri Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
Dialog inklusif anak kunci huraian damai di Myanmar, kata Menteri Indonesia

Menteri Ehwal Luar Indonesia Retno Marsudi (kanak) menyambut Menteri Ehwal Luar Timor-Leste Adaljiza Magno semasa Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN di Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia pada 3 Feb 2023. (Gambar: AP)

JAKARTA: Menteri-menteri Ehwal Luar ASEAN sepakat bahawa dialog inklusif di peringkat nasional merupakan anak kunci kepada huraian damai di Myanmar, kata Menteri Ehwal Luar Indonesia Retno Marsudi pada Jumaat (3 Feb).

Beliau berkata demikian kepada wartawan menyusuli pertemuan dengan Menteri Ehwal Luar ASEAN di Jakarta sempena mesyuarat ke-32 majlis penyelaras kumpulan negara Asia Tenggara itu.

Para Menteri  memulakan mesyuarat dengan majlis makan tengah hari untuk membincangkan perkembangan di Myanmar yang dilanda kemelut sejak rampasan kuasa tentera dua tahun lalu, katanya.

"Semasa majlis makan tengah hari itu, kami membincangkan dan bersetuju untuk menggesa kemajuan besar dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara bagi membuka jalan menuju dialog nasional yang inklusif di Myanmar.

"Dialog inklusif adalah anak kunci kepada huraian damai bagi keadaan di Myanmar. Dan persekitaran kondusif perlu diwujudkan bagi dialog inklusif dengan mengurangkan keganasan dan memastikan bantuan kemanusiaan dihantar tepat pada masanya dan tanpa halangan."

Mereka menegaskan lagi pendekatan bersatu dalam menangani keadaan di Myanmar menerusi Konsensus Lima Perkara itu, kata Cik Marsudi.

Menurutnya,  beliau mengambil peluang itu untuk memberi taklimat kepada anggota-anggota ASEAN tentang pendekatan Indonesia berhubung isu Myanmar sebagai pengerusi ASEAN.

Indonesia akan menampilkan tiga pendekatan, kata beliau. Indonesia adalah pengerusi ASEAN tahun ini. Negara-negara ASEAN memegang peranan itu secara bergilir-gilir.

"Pertama, melibatkan semua pihak berkepentingan sebagai langkah pertama dalam memudahkan dialog nasional yang inklusif. Saya juga berkongsi tentang usaha  saya mendampingi   semua pihak berkepentingan di peringkat permulaan.

"Kedua, membina persekitaran kondusif untuk membuka jalan menuju dialog inklusif. Dua isu penting bagi persekitaran kondusif: Mengurangkan keganasan dan melanjutkan bantuan kemanusiaan bagi semua yang memerlukan."

Beliau berkata kedua-dua syarat itu amat penting bagi membina kepercayaan dan keyakinan.

Ketiga, Indonesia mahu menyelaraskan usaha ASEAN bersama negara-negara jiran dan utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta negara-negara lain.

"Semua anggota semasa majlis makan tengah hari memberikan sokongan sepenuhnya kepada pendekatan-pendekatan Indonesia dalam menangani situasi di Myanmar," kata Cik Marsudi.

Gambar: Achmad Ibrahim/AP

Mesyuarat itu dijalankan sejurus selepas ulang tahun kedua rampasan kuasa tentera di Myanmar.

Sejak itu, lebih 2,000 rakyat prodemokrasi Myanmar maut dan 1.4 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Myanmar diundang menyertai mesyuarat pada Jumaat namun pada peringkat bukan politik. Sungguhpun demikian, tiada wakil diutuskan.

Anggota-anggota ASEAN juga menyambut kehadiran Menteri Ehwal Luar Timor Leste semasa mesyuarat majlis penyelaras tersebut.

Ia merupakan penyertaan Timor Leste buat julung-julung kalinya sejak ia diberikan status pemerhati tahun lalu. Ia diundang sebagai negara pemerhati.

Mesyuarat tersebut meluluskan garis panduan bagi pelaksanaan status pemerhati yang diberikan kepada Timor Leste dalam ASEAN.

Ia juga menugaskan kumpulan kerja majlis penyelaras ASEAN supaya melakarkan draf peta hala tuju bagi keanggotaan penuh Timor Leste.

Setiausaha Agung baru ASEAN Kao Kim Hourn juga hadir semasa mesyuarat tersebut.

Mesyuarat itu akan disambung pada Sabtu semasa retreat Menteri Ehwal Luar, di mana mereka dijangka membincangkan isu-isu serantau dan global seperti makanan dan kerjasama keselamatan serta kerjasama dalam kewangan dan kesihatan.

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan