Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dewan Rakyat lulus usul bentuk Jawatankuasa Pilihan Khas teliti perkara berkaitan lompat parti

Dewan Rakyat hari ini (11 Apr) meluluskan usul pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk membuat syor berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini (11 Apr) meluluskan usul pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk membuat syor berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Jawatankuasa itu dianggotai 11 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang akan dipengerusikan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ahli Parlimen kerajaan yang menganggotai jawatankuasa itu ialah Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas), Hamzah Zainuddin (Bersatu-Larut), Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) dan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti).

Wakil pembangkang pula melibatkan Gobind Singh Deo (PH-Puchong), Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang), Madius Tangau (UPKO-Tuaran), Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) dan Ignatius Dorell Leiking (Warisan-Penampang).

Encik Wan Junaidi ketika membentangkan usul itu berkata jawatankuasa berkenaan akan meneliti dan memberi pengkhususan terhadap tafsiran bagi sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal 1 Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubungan dengan keahlian dalam parti politik Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Jawatankuasa itu juga akan meneliti cadangan memansuhkan Perkara 48 (6) termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu selain menyediakan penyata mengandungi cadangan rang undang-undang berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti serta pindaan Perlembagaan berkaitan dalam tempoh sebulan.

Encik Wan Junaidi berkata jawatankuasa itu boleh melanjutkan tempoh itu sekiranya perlu.

Beliau berkata jawatankuasa itu boleh menjemput mana-mana pihak seperti Ahli-Ahli Parlimen, pakar perundangan dan perlembagaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat madani serta individu lain untuk hadir dalam persidangan dari semasa ke semasa.

“Jawatankuasa ini berhak untuk menentukan penjadualan persidangan mereka sendiri sama ada diadakan di Parlimen atau di mana-mana tempat lain mengikut kesesuaian,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini diadakan bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

Rang undang-undang itu antara lain berkaitan pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan punca kuasa bagi membolehkan suatu akta khusus berhubung larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal dan diluluskan di Parlimen.

Namun, sebelum Mesyuarat Khas itu bermula, satu mesyuarat antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob diadakan dengan tiga perkara dipersetujui kedua-dua pihak.

Ia melibatkan penelitian dan pengkhususan tafsiran bagi larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti; cadangan memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu dan menggubal suatu undang-undang khusus berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Encik Wan Junaidi ketika membentangkan rang undang-undang itu, berkata perkara tersebut akan dikemukakan untuk perbincangan dan pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan dilantik oleh Dewan Rakyat.

Mesyuarat Khas itu diteruskan dengan 59 Ahli Dewan Rakyat mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang berkenaan dan selepas selesai sesi penggulungan oleh Wan Junaidi, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon berkata perkara itu tidak perlu diputuskan oleh Dewan.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan