Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dewan Perwakilan AS rasmikan usul dakwa Trump buat kali kedua

Para anggota Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dari Parti Democrat dengan rasminya memulakan proses pendakwaan terhadap Presiden Donald Trump buat kali kedua pada Isnin (11 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Dewan Perwakilan AS rasmikan usul dakwa Trump buat kali kedua

Askar-askar Pengawal Negara mengawal pekarangan bangunan Capitol Amerika Syarikat yang diceroboh penyokong-penyokong Trump. (Gambar: AFP/Daniel Slim)

Diterbitkan : 12 Jan 2021 10:13AM Dikemas Kini : 12 Jan 2021 10:14AM

WASHINGTON: Para anggota Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dari Parti Democrat dengan rasminya memulakan proses pendakwaan terhadap Presiden Donald Trump buat kali kedua pada Isnin (11 Jan) atas tuduhan "menghasut pemberontakan" menyusuli rusuhan yang berlaku di bangunan Capitol minggu lalu.

Langkah itu - yang mengancam untuk membantutkan cita-cita politik presiden sepenggal itu - mungkin akan mencetuskan kekecohan pada hujung penggal pentadbiran Trump yang penuh kontroversi, menjelang upacara angkat sumpah Encik Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru pada 20 Januari.

Pemimpin Majoriti Dewan Perwakilan Steny Hoyer memberitahu para anggota Democrat pada Isnin bahawa mereka perlu bersidang di Washington hari ini (12 Jan) bagi meluluskan ketetapan bagi menggesa agar Presiden Donald Trump dilucutkan daripada jawatannya menerusi proses yang ditentukan dalam pindaan ke-25 Perlembagaan, kata seorang pegawai daripada tampuk kepimpinan Democrat di Dewan Perwakilan.

Dewan Perwakilan juga dijangka akan meluluskan pendakwaan Encik Trump pada Rabu, kata pegawai tersebut.

Para anggota Democrat sudahpun memperkenalkan ketetapan di Dewan Perwakilan bagi menggesa Naib Presiden Mike Pence dan para anggota Kabinet supaya menyingkirkan Trump - yang tidak kelihatan di khayalak ramai sejak beberapa hari kebelakangan ini - kerana tidak layak menyandang jawatan presiden di bawah Pindaan ke-15 Perlembagaan Negara.

Namun para anggota Republican dengan pantas menghalang kelulusan ketetapan itu dan akibatnya, pengundian diadakan. Ia diikuti oleh langkah Democrat memperkenalkan usul pendakwaan terhadap Encik Trump kerana "menghasut pemberontakan".

Encik Pence dilaporkan bertemu dengan Encik Trump di Rumah Putih semalam dan mengadakan "perbualan yang baik", kata seorang pegawai kanan.

Speaker Nancy Pelosi mengecam anggota-anggota Republican dengan mendakwa mereka membolehkan Encik Trump meneruskan perbuatan menghasut yang "tidak waras, tidak stabil dan tidak siuman".

Cik Pelosi berkata Dewan akan mengundi hari ini untuk menuntut Encik Pence agar menggunakan kuasa di bawah Pindaan ke-25 Perlembagaan dan memberinya tempoh 24 jam untuk bertindak.

Kemudian, kata Cik Pelosi, para anggota Democrat akan mengusulkan rang undang-undang pendakwaan terhadap Encik Trump.

Sedang para anggota Democrat bersiap sedia untuk bertindak, bangunan Capitol dibuka kepada para anggota dan kakitangan Kongres namun dengan kawalan keselamatan lebih ketat dan pemasangan pagar besi. Ini menyusuli serangan oleh para penyokong Encik Trump pada Rabu (6 Jan) yang menyebabkan lima orang terbunuh.

Encik Trump sebelum ini pernah didakwa oleh Dewan Perwakilan yang dikuasai Democrat pada Disember 2019 kerana memberi tekanan kepada Presiden Ukraine untuk mencungkil sebarang salah laku politik Encik Biden.

Encik Trump bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan oleh Dewan Senat yang dikuasai Republican.

Jika Dewan Perwakilan mengundi untuk meneruskan dengan pendakwaan tersebut, Encik Trump akan menjadi presiden Amerika Syarikat yang pertama dalam sejarah untuk didakwa sebanyak dua kali atas "jenayah berat dan salah laku".

Meskipun masa kian suntuk, para anggota Democrat dijangka akan memperolehi undi yang mencukupi untuk mendakwa Encik Trump sekali lagi.

Anggota Kongres David Cicilline yang mengusulkan ketetapan tersebut berkata bahawa beliau menjangkakan ia akan mendapat sokongan Republican.

Walaupun sekurang-kurangnya dua Senator Republican - Pat Toomey dan Lisa Mukowski - menggesa Encik Trump supaya mengundurkan diri - ketetapan itu tidak mungkin mendapat sokongan majoriti dua pertiga daripada 100 Senator yang diperlukan untuk melucutkan beliau daripada jawatannya.

Menurut peraturan Senat, perbicaraan Encik Trump di Dewan Senat tidak mungkin berlangsung sebelum 19 Januari.

Sesetengah anggota Democrat menyuarakan keprihatinan mengenai perbicaraan Encik Trump di Dewan Senat yang dikhuatiri akan mengalihkan perhatian dan menghambat usaha bakal Presiden Biden untuk segera membentangkan agendanya, bermula dengan usaha menangani COVID-19 dan perlunya untuk menyokong ekonomi. 

Sumber : AFP/Reuters/ZM
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan