Detik terakhir nahas pesawat Yeti Airlines dirakam penumpang
Dalam rakaman tersebut, seorang penumpang, Sonu Jaiswal dilihat merakam dirinya, kabin pesawat malang itu dan pemandangan dari tingkapnya sehingga penerbangan Kathmandu-Pokhara sampai ke penghujungnya. Kameranya meneruskan rakaman sedang pesawat malang itu terhempas lalu terbakar. (Tangkapan skrin video: Reuters/Sonu Jaiswal)
Dalam rakaman tersebut, seorang penumpang, Sonu Jaiswal dilihat merakam dirinya, kabin pesawat malang itu dan pemandangan dari tingkapnya sehingga penerbangan Kathmandu-Pokhara sampai ke penghujungnya. Kameranya meneruskan rakaman sedang pesawat malang itu terhempas lalu terbakar.
Rakaman tersebut disiarkan secara langsung di Facebook, lapor agensi berita BBC.
Video selama kurang seminit 40 saat itu pada mulanya merakam situasi dalam pesawat yang kelihatan biasa-biasa saja. Para penumpang boleh didengar sedang berbual di latar video berkenaan.
Seminit selepas itu, kamera tersebut mula bergoyang dengan kuat dan rakaman kelihatan kurang jelas sedang pesawat itu dilanda keadaan bergelora di udara.
Para penumpang mula menjerit dan sekitar lima saat kemudian bunyi letupan yang kuat kedengaran.
Kamera itu memfokus semula sejurus selepas nahas itu, dengan api kelihatan menyala di sekeliling objek yang tidak dikenali. Gambar itu kemudian kabur sebelum video terputus.
Agensi berita Reuters berupaya mengesahkan bahawa bandar yang dilihat dari pesawat sepertimana yang dipaparkan dalam rakaman video tersebut adalah Pokhara. Ini kerana bangunan-bangunan tersebut serupa dengan
imej-imej satelit.
Penyandar kepala yang dilihat dalam video itu juga memaparkan logo syarikat penerbangan Yeti Airlines dan konfigurasi sayap pesawat selaras dengan imej dalam rekod.
Jaiswal merupakan salah seorang daripada lima warga India yang menaiki pesawat tersebut, menurut agensi berita Hindustan Times.
Sekurang-kurangnya 70 orang maut dalam nahas pesawat ATR 72, dalam apa yang disifatkan sebagai nahas penerbangan paling dahsyat di Nepal dalam masa 30 tahun.
Dua penumpang masih dilaporkan hilang. Seorang pegawai tempatan bagaimanapun mendedahkan bahawa harapan semakin pudar untuk mengesan kedua-dua penumpang tersebut dalam keadaan masih hidup.
Masih belum diketahui punca nahas tersebut.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.