Skip to main content

Dunia

Destinasi menarik di M'sia diharap jadi lokasi wajib bagi penerbit filem, drama antarabangsa

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berhasrat menjadikan destinasi menarik di Malaysia sebagai lokasi wajib bagi penerbit filem dan drama antarabangsa menghasilkan penerbitan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
KUCHING: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berhasrat menjadikan destinasi menarik di Malaysia sebagai lokasi wajib bagi penerbit filem dan drama antarabangsa menghasilkan penerbitan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas Profesor Dr Mohd Nasir Ibrahim berkata kesemua destinasi akan dipromosi menerusi kerjasama perbadanan itu dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Insya-Allah dengan promosi yang lebih giat, saya yakin lebih ramai lagi penerbit luar akan datang untuk membuat penggambaran di negara kita," katanya selepas menghadiri program Sembang Santai Bersama Penggiat Industri  Kreatif Sarawak pada Ahad (26 Jun).

Beliau berkata dalam kunjungannya ke Bangkok baru-baru ini bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, beberapa penerbit di Thailand menyatakan minat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pembikinan filem dan drama terbaru mereka.

Menurutnya, minat yang ditunjukkan oleh penerbit terbabit menggambarkan potensi destinasi menarik di Malaysia terutama keunikan di Sarawak untuk ditonjolkan sebagai tarikan seterusnya menjana pendapatan negara. 

Dr Nasir berkata Finas sedang memperkemas kaedah latihan yang dianjurkannya bagi membolehkan pemain industri perfileman tempatan menghasilkan ciptaan berkualiti tinggi.

"Finas, melalui dana pembangunan industri, ada peruntukan untuk persatuan dan syarikat perfileman di Sarawak atau Semenanjung untuk menganjurkan kursus serta latihan bagi mengasah bakat para pelakon, kru dan pengarah," katanya.

Kira-Kira 40 penggiat industri kreatif Sarawak yang terdiri daripada penerbit, pengarah, pelakon, penyanyi dan  penulis skrip menghadiri program Sembang Santai anjuran Finas itu.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita