Denggi, HFMD cetus amaran kesihatan di rantau Mekong
Masyarakat di seluruh rantau Mekong berdepan peningkatan ancaman kesihatan bermusim akibat denggi dan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), sedang perubahan corak hujan serta peningkatan suhu mewujudkan keadaan yang lebih sesuai bagi penularan penyakit.
Perubahan cuaca dan taburan hujan yang tidak menentu boleh mewujudkan keadaan yang sesuai bagi pembiakan nyamuk. (Gambar: X/ngosugartp)
- Pihak berkuasa kesihatan di Kemboja, Laos, Vietnam, dan Myanmar meningkatkan kewaspadaan terhadap peningkatan kes denggi dan HFMD, terutama dalam kalangan kanak-kanak.
- Vietnam melaporkan 100,000 kes HFMD tahun ini, manakala Laos dan Kemboja turut mencatat lonjakan kes denggi sepanjang musim hujan.
- Perubahan cuaca seperti suhu tinggi, hujan lebat, dan banjir menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit di rantau Mekong.
- Pihak berkuasa menekankan kepentingan amalan kebersihan dan pengesanan awal di rumah serta sekolah untuk membendung penularan penyakit.
Pihak berkuasa kesihatan di Kemboja, Laos dan Vietnam meningkatkan tahap kewaspadaan apabila penyakit berkenaan menjadi ancaman serius terhadap kesihatan awam, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Kementerian Kesihatan Vietnam memaklumkan sebanyak 100,000 kes HFMD dilaporkan setakat tahun ini, dengan 3,000 kes dicatat setiap minggu.
Jumlah kes itu adalah 2.5 kali lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Ketika jumlah jangkitan kekal tinggi dan risiko dijangka meningkat pada September dan Oktober, amalan kebersihan secara konsisten serta pengesanan awal di rumah dan sekolah amat penting bagi membendung penularan dan melindungi kesihatan kanak-kanak,” lapor Vietnamplus.
Di negara jiran Laos, pegawai kesihatan mencatat 4,371 kes denggi di seluruh negara setakat 24 Ogos, menurut Lao News Agency.
Denggi merupakan penyakit bermusim di Laos, dengan jumlah kes lazimnya meningkat sepanjang musim hujan dari Mei hingga Ogos.
“Perubahan cuaca dan taburan hujan yang tidak menentu juga boleh mewujudkan keadaan yang sesuai bagi pembiakan nyamuk,” menurut agensi berita tersebut.
Kemboja pula turut berdepan kes denggi yang tinggi, dengan pihak berkuasa kesihatan negara itu memberi amaran berhubung peningkatan kes denggi dan HFMD.
Menurut laporan pemantauan denggi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 54,697 kes denggi termasuk 72 kematian dilaporkan setakat 2 Ogos.
Myanmar juga berdepan kesan kesihatan awam akibat musim hujan.
Kira-kira 90 orang dimasukkan ke Hospital Besar Yangon akibat cirit-birit pada pertengahan Ogos.
Kejadian tersebut menunjukkan risiko kesihatan yang lebih meluas berkaitan hujan lebat, banjir dan air tercemar.
Suhu tinggi, hujan lebat, banjir dan kemarau berpanjangan menyumbang kepada penyebaran penyakit berjangkit, menurut pakar kesihatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.