Skip to main content

Dunia

Dengan berlalunya musim panas paling bahang dalam 174 tahun, bagaimana persediaan Asia hadapi gelombang haba lebih ekstrem?

Anggaran Waktu Membaca:
Dengan berlalunya musim panas paling bahang dalam 174 tahun, bagaimana persediaan Asia hadapi gelombang haba lebih ekstrem?
Diterbitkan : 01 Oct 2023 03:20PM Dikemas Kini : 01 Oct 2023 03:34PM
SICHUAN: Tahun lalu, apabila China mengalami gelombang haba paling buruk sejak rekod nasional dimulakan pada 1961, kesan yang menimpa ladang jagung Wang Guoning di wilayah Sichuan amat dahsyat.

"Jagung itu begitu kering ia menyerupai kawul, seperti ia boleh menyala. Begitu banyak tumbuhan mati," kongsi lelaki berusia 33 tahun itu. "Pada dasarnya, semuanya musnah, dan kami tidak mempunyai sebarang pendapatan.

Pada musim panas ini, cuaca bahang itu kembali, bahkan ia sudah mencecah 52.2 darjah Celsius di wilayah Xinjiang, di barat laut China. Beberapa wilayah termasuk Sichuan mengalami kemarau dan kebakaran hutan.

Mengambil iktibar daripada pengalaman lalunya, Wang mula menanam lebih 20 hari awal kali ini, menghasilkan tanaman sebelum keadaan bertambah buruk.

"Kami berjaya (mendapatkan) ... masa (betul)," katanya.

"Jadi kami telah mengurangkan kerugian akibat kemarau."

Walau bagaimanapun, China menyaksikan kemerosotan dalam penuaian bijirin musim panasnya. Tekanan haba menyebabkan tanaman jagung, misalnya, untuk dihasilkan lebih awal, menyebabkan biji jagung yang lebih kecil daripada biasa dan dengan itu mengurangkan hasil.

Memandangkan jagung merupkan tanaman bijirin yang digunakan di sebahagian besar dunia dan mempunyai pelbagai kegunaan, kemampuan makanan juga akan menjadi satu cabaran.

Sekitar 60 peratus jagung yang tumbuh di merata dunia digunakan sebagai makanan haiwan. Jika jumlah penghasilan terjejas dan harga jagung melambung tinggi, harga daging akan turut meningkat.

Kesan gelombang haba juga boleh melemahkan haiwan ternakan itu sendiri.

Tahun ini menyaksikan musim panas paling bahang di dunia (Jun hingga Ogos) dalam tempoh 174 tahun penyimpanan rekod, menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat. Julai, misalnya, adalah 1.18 darjah Celsius lebih panas daripada purata bulan antara tahun 1951 dengan 1980.


Sedang gelombang haba kian bertambah bahang, mungkin terdapat perubahan dalam bukan sahaja pertanian tetapi juga kerja lain di luar, dasar pemerintah, permintaan penyejukan bandar dan cara kehidupan orang ramai, seperti yang baru-baru ini dilihat di bahagian Asia Timur.


KESIHATAN PELADANG TERJEJAS JUGA

Seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan, haba melampau boleh membawa maut kepada para peladang. Menurut penyelidikan di Amerika Syarikat, pekerja pertanian berdepan 35 kali lebih risiko kematian berkaitan haba berbanding kebanyakan pekerja lain.


Ia bahkan, menjadi satu masalah di negara-negara yang mempunyai penduduk yang menua, seperti Korea Selatan.

Hampir separuh daripada pekerja ladang di negara itu kini berusia 65 tahun ke atas. Malah, kumpulan umur tersebut sangat terdedah kepada tekanan haba.


Dengan suhu yang semakin melonjak tinggi pada musim panas ini, sekurang-kurangnya 27 orang di Korea Selatan maut menjelang awal Ogos, dan kebanyakan daripada mereka merupakan peladang yang lanjut usia.

HARUNGI CABARAN DI BANDAR

Jauh dari ladang, ia juga dianggap sebagai musim panas yang mengerikan bagi sesetengah pekerja di pusat bandar.


Di Seoul, pemerintah memperkenalkan perubahan pada dasar, setelah gelombang haba yang memecahkan rekod pada 2018 meragut 48 nyawa di seluruh negara itu.


Di Hong Kong pula, yang baru saja mengalami musim panas paling bahang berdasarkan rekod, Jabatan Buruh mengeluarkan garis panduan bagi mengelak strok haba tahun ini berdasarkan sistem amaran tiga peringkat.


Apabila amaran berwarna kuning jingga berkuat kuasa, pekerja yang mempunyai tuntutan kerja fizikal yang sederhana, misalnya, dinasihatkan untuk berehat selama 15 minit setiap jam. Terdapat juga amaran merah dan hitam, yang menandakan tekanan haba "sangat tinggi".


MISKIN DAN RASA PANAS

Bagi sesetengah yang lain, duduk di rumah saja tidak memberikan banyak kelegaan. Di kawasan sempit yang kerap didiami penduduk miskin Hong Kong, tahap pengaliran udaranya kurang baik.

Malah, perumahan yang padat dengan penduduk memang biasa ditemui di seluruh Hong Kong.

Dalam kes-kes yang teruk, bandar-bandar boleh menjangkaui 10 hingga 15 darjah Celsius lebih tinggi daripada persekitaran luar bandar mereka.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita