Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Denda haji tanpa permit boleh capai SR100,000: Arab Saudi

Anggaran Waktu Membaca:
Denda haji tanpa permit boleh capai SR100,000: Arab Saudi

(Gambar hiasan: Abdel Ghani Bashir/AFP)

Diterbitkan : 16 May 2024 06:08PM Dikemas Kini : 16 May 2024 06:11PM
RIYADH: Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan pada Rabu (15 Mei) bahawa denda yang dikenakan ke atas para jemaah yang menunaikan haji tanpa permit boleh mencecah sehingga 100,000 Riyal Saudi (S$35,840) sekiranya jemaah tersebut didapati berulang kali melakukan kesalahan itu.

Kementerian tersebut sebelum ini menyatakan bahawa denda 10,000 Riyal (S$3,585) akan dikenakan ke atas sesiapa yang memasuki Makkah tanpa permit haji semasa tempoh daripada 25 Zulkaedah 1445 Hijrah yang bertepatan dengan 2 Jun 2024 sehingga 14 Zulhijjah yang bertepatan dengan 20 Jun, dipetik daripada Saudi Gazette.

Hukuman tersebut akan dijatuhkan ke atas sesiapa yang ditangkap berada dalam pekarangan kota suci Makkah, Kawasan Tengah Haram, Tapak Suci Mina, Arafah dan Muzdalifah, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat perhimpunan jemaah haji dan pusat kawalan keselamatan sementara.

Hukuman tersebut akan dikenakan ke atas mereka yang melanggar syarat-syarat dan arahan yang dikeluarkan kementerian tersebut, lapor Saudi Gazette.

Menurut kementerian itu, denda 10,000 Riyal (S$3,585) akan dikenakan ke atas mereka yang melanggar undang-undang, termasuk rakyat Arab Saudi, ekspatriat dan pelawat yang ditangkap dalam kawasan geografi tertentu di Makkah tanpa mempunyai permit haji.

Kementerian tersebut mengesahkan bahawa ia akan menggandakan denda terhadap individu yang melanggar undang-undang itu, sehingga mencecah 100,000 Riyal (S$35,840) sekiranya individu tersebut didapati mengulangi kesalahan itu.

Ekspatriat di kalangan pesalah akan dihantar pulang ke negara masing-masing dan larangan untuk memasuki semula Saudi akan dikenakan ke atas mereka mengikut tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang.

Kementerian tersebut menggariskan keperluan untuk mematuhi syarat-syarat dan arahan Haji agar para jemaah boleh menunaikan ibadah dengan aman dan selesa.

Menurut laporan agensi berita Saudi Gazette, kementerian itu malah, sebelum ini menyatakan bahawa hukuman bagi sesiapa yang didapati mengangkut individu yang melanggar undang-undang serta arahan haji boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan didenda sehingga 50,000 Riyal (S$17,925).
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan