Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Demam babi Afrika dikesan di 5 lagi ladang Pulau Pinang; diisytihar sebagai bencana

Anggaran Waktu Membaca:
Demam babi Afrika dikesan di 5 lagi ladang Pulau Pinang; diisytihar sebagai bencana

(Gambar fail: Nikolay Doychinov/AFP)

NIBONG TEBAL: Pulau Pinang mengisytiharkan penyakit demam babi Afrika atau African Swine Fever (ASF) di negeri itu sebagai bencana selepas lima lagi ladang ternak babi dijangkiti penyakit itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata hingga Jumaat (13 Jan), sebanyak tujuh ladang ternak babi dijangkiti ASF dan membabitkan 25,000 ekor haiwan di semua ladang berkenaan akan ditakai secara berperingkat.

"Kerajaan negeri telah mengisytiharkan kejadian penyakit ASF di Pulau Pinang sebagai bencana setelah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengesahkan setakat ini, tujuh ladang babi komersil telah dijangkiti iaitu masing-masing lima di Seberang Perai Selatan (SPS) dan dua di Seberang Perai Tengah (SPT).

"Pengesahan penyakit dibuat melalui ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara Bukit Tengah bermula 4 hingga 12 Januari lalu ke atas sampel babi dari ladang-ladang ternak babi di negeri ini sebelum mendapati tujuh daripadanya dijangkiti ASF," katanya sewaktu sidang media pada Jumaat. 

Beliau ditemui para wartawan selepas mengadakan pertemuan dengan JPV Pulau Pinang dan wakil penternak babi di Perkampungan Valdor bagi mengetahui perkembangan terkini jangkitan ASF di ladang-ladang kawasan itu, yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPV Dr Akma Ngah Hamid.

Encik Chow berkata bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF, JPV Pulau Pinang menjalankan dasar pembasmian virus menerusi penakaian babi di ladang yang disahkan positif penyakit ASF secara berperingkat dengan bangkainya ditanam di situ atau kawasan khas disediakan kerajaan negeri.

"Pemusnahan dijalankan menggunakan kaedah gas karbon dioksida (berkepekatan tinggi) mengikut garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan iaitu Pengurusan Pelupusan Haiwan sebelum bangkai-bangkai babi ditanam secara sempurna," katanya.

Beliau berkata sehingga Jumaat, sebanyak 929 ekor babi iaitu dari ladang pertama yang dikenal pasti dijangkiti ASF, sudahpun ditakai dan pemusnahan akan diteruskan pada Jumaat, membabitkan ladang kedua iaitu 2,500 ekor babi berikutan terdapat banyak kematian babi di ladang terbabit dan dijangka mengambil masa lebih kurang satu minggu untuk diselesaikan.

Menurutnya, aktiviti penakaian itu tidak dapat dimulakan dengan lebih awal akibat kekangan kawasan di ladang ternakan untuk dijadikan tapak pelupusan babi dan kesemua 25,000 ekor haiwan itu di tujuh ladang berkenaan akan ditakai secara berperingkat serta dijangka memakan masa berminggu-minggu.

"Menurut pihak JPV Pulau Pinang, apabila seekor babi dijangkiti ASF, kesemua haiwan yang ada di ladang itu perlu ditakai dan ekoran itu, kerajaan negeri akan menyediakan kawasan tanah berhampiran jalan raya atau lebuh raya di negeri ini untuk menanam bangkai babi yang ditakai kerana kekangan tanah di ladang ternak babi dan saya minta orang ramai tidak panik dengan situasi itu lagipun ASF tidak menjangkiti manusia," katanya.

Encik Chow berkata bagi mengesan jangkitan dan perebakan penyakit ASF di kawasan berhampiran, pihak berkuasa menjalankan aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan bagi kesemua ladang ternakan babi dalam radius lima kilometer dari ladang yang terlibat.

Katanya lagi, aktiviti pemantauan dan pemeriksaan bangkai juga giat dijalankan di semua rumah sembelih babi berlesen di Pulau Pinang dan pihaknya tidak menolak kemungkinan penyakit ASF itu akan terus merebak di ladang lain.

"Pihak polis juga mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di jalan-jalan masuk ke kawasan Perkampungan Valdor sejak 10 Januari lalu dan ia dijalankan bagi mengawal pergerakan keluar serta masuk babi hidup dan bangkai babi dari kawasan jangkitan seterusnya mengawal penularan penyakit ASF ini ke kawasan lain," katanya.

Encik Chow berkata hingga kini, kaedah pencegahan penyakit ASF yang berkesan dan disarankan ialah melalui amalan biokeselamatan ladang yang baik dengan tidak membenarkan lori pengangkut babi dan lori makanan ternakan masuk ke dalam ladang, ladang mempunyai pagar perimeter bagi mencegah kemasukan babi hutan atau haiwan liar ke dalam ladang dan pelbagai lagi.

Beliau juga meminta kerjasama penternak dan orang awam agar segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada JPV Pulau Pinang menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit melalui talian 04-5041047.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan