Skip to main content

Dunia

Delta masih varian dominan, pakar galak ambil dos ketiga

Ujian makmal sedang dijalankan bagi menentukan keberkesanan vaksin terhadap Omicron; namun dengan keputusan hanya akan diketahui beberapa minggu lagi, varian Delta kekal dominan.

Anggaran Waktu Membaca:
Delta masih varian dominan, pakar galak ambil dos ketiga
Diterbitkan : 04 Dec 2021 07:25PM Dikemas Kini : 04 Dec 2021 07:36PM

PARIS: Tidak ada pihak yang tahu keberkesanan vaksin menghalang jangkitan dan penularan varian baru COVID-19, Omicron atau sejauh mana mereka akan dilindungi daripada penyakit teruk.

Ujian makmal sedang dijalankan bagi menentukan keberkesanan vaksin terhadap Omicron dengan keputusan dijangka dalam beberapa minggu lagi.

Sementara menantikan keputusan itu, varian Delta kekal dominan dengan pakar, pemerintah serta pengeluar vaksin menggesa orang ramai memanfaatkan suntikan penggalak.

Delta terbukti mampu mengelak perlindungan vaksin terhadap penularan, lebih baik berbanding varian Alpha, Beta dan Gamma.

Bagaimanapun suntikan vaksin kekal cara paling berkesan bagi mencegah penyakit teruk akibat Delta, selain mengurangkan risiko memberi tekanan kepada sumber hospital.

Beberapa negara cuba mempercepatkan kempen dos penggalak dengan Delta masih dominan di Eropah.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, menetapkan sasaran untuk menawarkan dos penggalak kepada semua penduduk dewasa menjelang akhir Januari depan dan mengurangkan tempoh menunggu antara suntikan kedua dan ketiga daripada enam kepada tiga bulan.

Di Amerika Syarikat, Pfizer sedang memohon kelulusan untuk menggunakan vaksinnya sebagai suntikan dos penggalak kepada remaja berusia 16 dan 17 tahun.

"Menjadi satu kesilapan besar jika kita memperlahankannya sekarang." kata penyelaras strategi vaksin pandemik Perancis, Alain Fischer.

"Mesej kami ialah: Jangan gentar, rancangannya tetap sama: Percepatkan pemberian suntikan penggalak," kata pengasas bersama BioNTech, Ugur Sahin, Selasa lalu.

Bagaimanapun, Ketua Moderna, Stephane Bancel memberitahu Financial Times minggu ini, beliau menjangkakan 'penurunan besar' dalam keberkesanan suntikan terhadap varian baru itu.

Ujian makmal untuk mengukur kelemahan Omicron terhadap vaksin yang digunakan sekarang sedang dijalankan dan keputusannya dijangkakan dalam dua hingga tiga minggu ini.

Pfizer, Johnson & Johnson dan Moderna masing-masing berkata, mereka mula mengusahakan versi baru vaksinnya, khusus menyasarkan Omicron, jika dos sedia ada tidak berkesan.

Pfizer membuat suntikan khas ketika kemunculan Delta, tetapi tidak pernah melancarkannya.
Syarikat itu menjanjikan vaksin baru dalam tempoh 100 hari tetapi pelancarannya akan mengambil masa lebih lama dan tidak akan berlaku sebelum musim bunga.

"Ketika ini, vaksin sedia ada melindungi jangkitan teruk akibat varian Delta," kata pakar COVID-19 di Institut Penyelidikan Nasional Perancis CNRS, Bruno Canard. 

Sumber : AFP/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita