Skip to main content

Dunia

Delhi kuat kuasa larangan masuk kenderaan persendirian luar gagal patuhi piawaian

Anggaran Waktu Membaca:
Delhi kuat kuasa larangan masuk kenderaan persendirian luar gagal patuhi piawaian
New Delhi. (Gambar: Arun SANKAR / AFP)
 
Diterbitkan : 18 Dec 2025 07:29PM Dikemas Kini : 18 Dec 2025 07:41PM
NEW DELHI: Larangan kemasukan kenderaan persendirian dari luar Delhi yang tidak memenuhi piawaian bahan cemar Bharat Stage VI (BS-VI), serta penguatkuasaan peraturan "Tiada PUC, Tiada Bahan Api", berkuat kuasa di ibu kota India itu pada Khamis (18 Dis).

Langkah itu diambil ketika pihak berkuasa mempertingkatkan usaha bagi menangani masalah pencemaran udara yang semakin buruk, lapor Press Trust of India (PTI).

Di bawah peraturan itu, stesen minyak tidak dibenarkan membekalkan bahan api kepada kenderaan yang tidak mempunyai Sijil Pencemaran Terkawal (PUC) yang sah, dengan penguatkuasaan dilakukan menggunakan kamera pembaca nombor pendaftaran automatik, amaran suara di stesen minyak serta bantuan pihak polis.

Menurut pegawai, seramai 580 anggota polis dikerahkan di 126 pusat pemeriksaan termasuk pintu masuk sempadan.
Selain itu, pasukan penguat kuasa daripada Jabatan Pengangkutan Delhi ditempatkan di stesen minyak dan pintu masuk sempadan bagi memastikan pelaksanaan peraturan yang berkesan, kata mereka.

Bagaimanapun, larangan masuk itu tidak terpakai kepada kenderaan berkuasa gas asli termampat (CNG) atau elektrik, pengangkutan awam, serta kenderaan yang membawa barangan keperluan asas atau menyediakan perkhidmatan penting.

Kenderaan yang mengangkut bahan binaan juga tidak dibenarkan memasuki bandar raya itu di bawah sekatan Pelan Tindakan Tindak Balas Berperingkat (GRAP) Tahap IV.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita