Skip to main content

Dunia

Delhi catat jumlah kematian tertinggi akibat COVID-19, hospital sesak dengan pesakit

Jumlah kematian akibat COVID-19 di New Delhi melonjak ke paras rekod tertinggi baru pada Khamis (12 Nov) dan ia juga melaporkan jumlah jangkitan tertinggi di India.

Anggaran Waktu Membaca:
Delhi catat jumlah kematian tertinggi akibat COVID-19, hospital sesak dengan pesakit

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 13 Nov 2020 05:08PM Dikemas Kini : 13 Nov 2020 05:14PM

NEW DELHI: Jumlah kematian akibat COVID-19 di New Delhi melonjak ke paras rekod tertinggi baru pada Khamis (12 Nov) dan ia juga melaporkan jumlah jangkitan tertinggi di India, satu kenaikan yang dikaitkan dengan pencemaran udara di bandar itu dan langkah jarak selamat yang kurang diamalkan di tempat-tempat awam menjelang satu perayaan utama.

Meskipun jumlah kes baru harian merosot dengan banyak di negara itu sejak ia mencecah paras tertinggi pada pertengahan September, bandar didiami seramai 20 juta penduduk itu sedang melalui fasa terburuk pandemik itu.

Pada lewat Khamis, Delhi melaporkan 104 kematian baru dan 7,053 jangkitan baru. Data daripada Kementerian Kesihatan Persekutuan pada awal Jumaat (13 Nov) menunjukkan bahawa jumlah jangkitan di negara itu meningkat sebanyak 44,789 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 8.73 juta kes, iaitu kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat.

Kes kematian akibat COVID-19 di India pula bertambah sebanyak 547 kepada 128,668.

Ketika Delhi mencatat kenaikan kes dalam gelombang jangkitan ketiga, banyak hospital sudah pun mengalami kekurangan katil bagi jagaan rapi malah katil biasa bagi pesakit COVID-19 juga cepat penuh.

Atas permintaan pemerintah tempatan, Mahkamah Tinggi Delhi pada Khamis mengarahkan 33 daripada hospital swasta bandar itu untuk memperuntukkan 80 peratus daripada katil jagaan rapi bagi para pesakit yang dijangkiti COVID-19.

Pemerintah persekutuan meminta Delhi untuk menyediakan sumber bagi menangani sehingga 15,000 kes setiap hari semasa musim sejuk, apabila tahap pencemaran memuncak di negara itu dan isu-isu pernafasan melonjak.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita