Skip to main content

Dunia

Delegasi Turki lawat Pakistan untuk bincang gencatan senjata dengan Afghanistan

Satu delegasi Turki yang terdiri daripada menteri luar, menteri pertahanan dan Ketua Organisasi Perisikan Negara (MİT) akan melawat Pakistan pada minggu depan bagi membincangkan gencatan senjata dengan Afghanistan, kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Ahad (9 Nov), lapor Sputnik/RIA Novosti.
Anggaran Waktu Membaca:
Delegasi Turki lawat Pakistan untuk bincang gencatan senjata dengan Afghanistan
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan. (Gambar fail: REUTERS)
ANKARA: Satu delegasi Turki yang terdiri daripada menteri luar, menteri pertahanan dan Ketua Organisasi Perisikan Negara (MİT) akan melawat Pakistan pada minggu depan bagi membincangkan gencatan senjata dengan Afghanistan, kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Ahad (9 Nov), lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada Rabu, portal berita Tolo News melaporkan bahawa pusingan ketiga rundingan antara Afghanistan dengan Pakistan sudah bermula di Istanbul, bertujuan mencari penyelesaian untuk mengurangkan insiden pertembungan di sempadan, mencegah serangan rentas sempadan dan memperkukuh kerjasama dalam memerangi keganasan.

“Ketika ini, penglibatan kami dalam proses ini sedang berjalan dengan baik. Kami berharap hasilnya akan positif. Minggu depan, Menteri Luar Hakan Fidan, Menteri Pertahanan Negara Yasar Guler dan Ketua Perisikan Ibrahim Kalin akan melawat Pakistan.

"Selepas membincangkan isu-isu ini di lapangan, mereka diharap dapat menyelesaikan proses yang bermula di Doha dan Ankara,” kata Encik Erdogan kepada wartawan dalam penerbangan pulang dari Azerbaijan.

Encik Erdogan berkata Turki terus menyeru kedua-dua pihak supaya menunjukkan sikap berhemah dan berharap agar gencatan senjata serta keamanan berkekalan dapat dicapai antara dua negara jiran itu.

Ketegangan di sepanjang Garisan Durand iaitu sempadan pertikaian antara Pakistan dengan Afghanistan, meningkat sejak pertengahan Oktober selepas Kabul mendakwa Islamabad menceroboh ruang udaranya dan melancarkan serangan ke wilayah Afghanistan. 

Kementerian Pertahanan Afghanistan mendakwa pihaknya berjaya melancarkan “operasi serang balas” terhadap Pakistan.

Pertempuran disambung semula pada 15 Oktober, dan selepas serangan udara, Afghanistan mengisytiharkan kesiapsiagaan penuh tenteranya di sepanjang Garisan Durand.

Pada 19 Oktober lalu, Kementerian Luar Qatar memaklumkan bahawa Pakistan dan Afghanistan sudah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata segera dalam rundingan di Doha.

Bagi memastikan keberkesanan dan pemantauan pelaksanaan gencatan itu, kedua-dua negara bersetuju mengadakan pertemuan susulan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita